Oleh: Nur Izra Izzati Balqis binti Bakri & Dr Mohamad Ihsan Muhamad Ismail,
TANJONG MALIM, 15 Januari 2026 – Surau Al-Falah, Kolej Aminuddin Baki menjadi saksi penganjuran Program “Yasin An-Najah: Menggapai Kejayaan dengan Keberkatan” yang berlangsung dalam suasana penuh keberkatan pada Khamis.
Program anjuran Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah (TREX), Persatuan Geografi (PERGEO) sesi 2025/2026 itu diadakan dari jam 8.00 malam hingga 10.30 malam sebagai persiapan rohani menjelang peperiksaan akhir semester satu sesi 2025/2026.


Inisiatif berkenaan bertujuan memperkukuh hubungan mahasiswa dengan Allah SWT agar para pelajar lebih bersedia dari segi spiritual sebelum menghadapi peperiksaan. Program ini turut selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) serta SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh).

Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Pengkomersilan), Fakulti Sains Kemanusiaan, Prof. Madya Dr. Kamarul Ismail. Turut hadir ialah Ketua Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Prof. Madya Dr. Hanifah Mahat serta barisan pensyarah Jabatan Geografi.
Dalam ucapannya, Prof. Madya Dr. Kamarul Ismail menekankan kepentingan adab mahasiswa terhadap pensyarah dalam menuntut ilmu agar ilmu yang diperoleh diberkati Allah SWT. Program ini disertai seramai 70 aktivis PERGEO yang terdiri daripada pelajar semester satu hingga semester tujuh.




Pengisian program meliputi bacaan Surah Yasin, solat Isyak serta solat sunat hajat secara berjemaah bagi memohon kelancaran menghadapi peperiksaan dan kesembuhan khas buat Dr. Abdul Jalal Abdul Manaf. Bacaan Yasin dipimpin oleh Abdullah Afif Abdull Yasir, manakala solat Isyak dan solat sunat hajat diimamkan oleh Ahmad Muhaimin Zulkefli.
Program turut diserikan dengan acara salam restu antara aktivis dan pensyarah sebagai simbol penghormatan serta pengharapan agar segala usaha dan ilmu yang dicurahkan mendapat keberkatan. Majlis diakhiri dengan jamuan ringan yang disediakan sebagai tanda penghargaan kepada para peserta.

Secara keseluruhan, Program “Yasin An-Najah: Menggapai Kejayaan dengan Keberkatan” berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuh hubungan dengan Allah SWT serta mengeratkan ukhuwah antara pelajar dan pensyarah. Penganjur berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan aktivis geografi yang seimbang dari segi dunia dan akhirat.
