Oleh: Siti Sarah Salahudin, Dr. Murihah Abdullah dan Dr. Wan Maslukma Wan Zaharudin
TANJONG MALIM, 14 Januari 2026 – Persatuan Pendidikan Islam (PPI), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menganjurkan Seminar Penyelidikan Prasiswazah ISMP Pendidikan Islam 3.0 secara dalam talian menerusi platform Google Meet.
Seminar ini melibatkan penyertaan aktif pelajar semester tujuh Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Pendidikan Islam yang membentangkan hasil kajian tahun akhir masing-masing kepada para penilai. Program tersebut turut dihadiri oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam serta para pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan.


Majlis perasmian penutupan dan penyampaian ucaptama disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Md Noor Daud, Penyelaras Program Turath Islami I-Furqan. Seminar ini berfungsi sebagai medium perkongsian ilmu dan pengalaman antara pelajar dan pensyarah dalam usaha meningkatkan kualiti penyelidikan prasiswazah.
Maklum balas yang diterima sepanjang sesi pembentangan membantu pelajar menambah baik penyelidikan masing-masing, di samping meningkatkan kefahaman terhadap kaedah penyelidikan, penulisan akademik serta etika penyelidikan Islam. Program ini turut memberi ruang kepada pelajar untuk memperkukuh pemikiran kritis, kemahiran komunikasi dan keupayaan penyampaian akademik secara profesional dan tersusun.

Ucapan bertajuk “Prospek Penyelidikan dalam Pendidikan Islam” yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Md Noor Daud menambah nilai signifikan kepada penganjuran seminar dengan menyuntik inspirasi serta memperkukuh kefahaman peserta terhadap kepentingan integrasi ilmu dan akhlak dalam penyelidikan.
Penganjuran seminar ini diharapkan dapat dijadikan sebagai platform berterusan bagi menyemai minat dan budaya penyelidikan dalam kalangan mahasiswa, sekali gus melahirkan bakal pendidik Islam yang berilmu, berwibawa dan berkemahiran tinggi selaras dengan tuntutan serta cabaran pendidikan masa kini.
