Oleh: Umi Umairah Abd Halim & Mohamad Kamal Kamaruddin

TANJONG MALIM, 17 Januari 2026 – Persatuan Mahasiswa Sejarah (PERMAS), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Persatuan Sejarah Universiti Malaya, Kelab Sejarah Universiti Sains Malaysia serta Persatuan Mahasiswa Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganjurkan program Historiq Battle secara dalam talian menerusi platform Google Meet.

Program berbentuk pertandingan kuiz interaktif itu berjaya menghimpunkan seramai 396 peserta yang terdiri daripada mahasiswa UPSI, Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Anjuran Exco Publisiti dan Informasi PERMAS ini bertujuan meningkatkan pengetahuan sejarah dalam kalangan mahasiswa melalui pendekatan pembelajaran digital yang santai, menyeronokkan dan kompetitif. Pertandingan kuiz yang dilaksanakan menggunakan platform Wayground memberi peluang kepada peserta menguji kefahaman sejarah negara dan dunia secara pantas serta interaktif, sekali gus menggalakkan pemikiran kritis dan daya saing sihat.

Pelaksanaan program dimulakan dengan sesi pertandingan kuiz sebelum diteruskan dengan majlis rasmi di Google Meet yang merangkumi ucapan aluan, bacaan doa, ucapan pengarah program serta ucapan wakil universiti kerjasama. Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, Dr. Abu Zarrin Selamat.

Dalam ucapan perasmian, Dr. Abu Zarrin menzahirkan penghargaan kepada PERMAS atas inisiatif menganjurkan program akademik yang inovatif dan berimpak tinggi. Beliau menyatakan penggunaan teknologi digital dalam pembelajaran sejarah berupaya menarik minat mahasiswa serta menggalakkan penglibatan aktif merentasi universiti, selain memperkukuh jaringan kolaborasi akademik antara institusi pengajian tinggi.

Program diteruskan dengan pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah kepada peserta yang berjaya, diikuti sesi bergambar secara dalam talian. Sepanjang penganjuran program, peserta menunjukkan komitmen dan penyertaan yang amat memberangsangkan.

Secara keseluruhan, program Historiq Battle berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dengan memberi impak positif dari segi peningkatan pengetahuan sejarah, kemahiran berfikir pantas serta penguasaan teknologi digital. Penganjur berharap program akademik berkonsepkan interaktif dan kolaboratif seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkasakan pembelajaran sejarah di peringkat kebangsaan.