Oleh: Ts. Dr. Afiq Radzwan, En. Wan Zul Adli Wan Mokhtar, Dr. Anis Nazihah Mat Daud, En. Mohd Faisal Mohd Yassin, Dr. Faudzi Umar, Nur leesya Afiqah Kamar Mohmad Zakaria, Muhammad Isyraf Firdaus Hassim.

TANJONG MALIM, 11 Februari 2026 – Aktiviti cerapan astronomi menjadi pengisian utama yang memperkasa bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sempena Perhimpunan Bulanan Edisi Februari 2026 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berlangsung di Auditorium UPSI, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Program anjuran Fakulti Sains dan Matematik dengan kerjasama Kelab Rakan Astronomi UPSI (RASTRO) dan Stargazers UPSI itu memberi peluang kepada staf serta pelajar UPSI menyaksikan fenomena cakerawala secara langsung menggunakan beberapa unit teleskop yang disediakan. Aktiviti cerapan bermula seawal jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 12.00 tengah hari dengan penyertaan yang menggalakkan.

Fasilitator sedang melaraskan teleskop ke arah Bulan untuk tujuan pencerapan.
Warga UPSI teruja melihat bulan di teleskop
Pelajar antrabangsa UPSI turut bersama mencerap matahari.

Pada hari tersebut, Bulan berada dalam fasa terakhir dan boleh dicerap pada waktu pagi. Keadaan ini membolehkan pengunjung melihat dengan jelas permukaan Bulan yang memperlihatkan kawah, tekstur dan bayang-bayang hasil pencahayaan Matahari. Ramai dalam kalangan staf dan pelajar mengakui bahawa pengalaman melihat Bulan secara langsung melalui teleskop merupakan pengalaman pertama mereka, sekali gus meningkatkan minat terhadap bidang astronomi.

Cerapan Matahari turut menjadi tumpuan dengan penggunaan teleskop yang dilengkapi penapis solar khas bagi menjamin keselamatan. Pengunjung berpeluang menyaksikan tompok Matahari (sunspot) dan diberikan penerangan mengenai kepentingannya dalam memahami aktiviti suria serta kesannya terhadap Bumi. Penjelasan secara langsung di tapak cerapan membantu peserta mengaitkan konsep fizik dan matematik dengan pemerhatian sebenar, sekali gus menjadikan pembelajaran lebih jelas dan kontekstual.

Naib Canselor UPSI, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff turut bersama mencerap matahari.
pameran astrofotografi yang memaparkan imej langit malam, fasa Bulan, nebula, galaksi Bima Sakti serta Matahari yang dirakam oleh ahli Stargazers UPSI dan RASTRO.
pameran astrofotografi yang memaparkan imej langit malam, fasa Bulan, nebula, galaksi Bima Sakti serta Matahari yang dirakam oleh ahli Stargazers UPSI dan RASTRO.

Menurut pihak Fakulti Sains dan Matematik selaku penganjur Perhimpunan Bulanan, pelaksanaan aktiviti cerapan ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman konsep astronomi, malah memperkasa STEM melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman. “Cerapan secara langsung membolehkan warga UPSI menghubungkan teori dengan realiti serta memahami fenomena alam berdasarkan prinsip fizik dan matematik,” ujar salah seorang fasilitator program.

Sambutan terhadap aktiviti cerapan amat memberangsangkan apabila pengunjung sanggup beratur untuk mendapatkan giliran melihat melalui teleskop. Interaksi dua hala antara fasilitator dan peserta turut menjadikan sesi cerapan lebih informatif serta merangsang pemikiran kritis dan rasa ingin tahu terhadap fenomena alam semesta.

Turut hadir menyertai aktiviti cerapan ialah En. Norameen bin Burhanuddin, Penolong Mufti, Balai Cerap Selangor, yang meluangkan masa mencerap serta berkongsi pandangan berkaitan kepentingan ilmu falak dan astronomi dalam konteks masyarakat. Kehadiran beliau menambah nilai ilmiah kepada program tersebut.

Selain cerapan secara langsung, program turut disokong oleh pameran astrofotografi yang memaparkan imej langit malam, fasa Bulan, nebula, galaksi Bima Sakti serta Matahari yang dirakam oleh ahli Stargazers UPSI dan RASTRO. Pameran ini memperlihatkan bahawa astronomi bukan sahaja melibatkan pemerhatian visual, tetapi juga kemahiran teknikal dalam bidang optik, fotografi dan pemprosesan imej digital.

Penganjuran aktiviti ini selari dengan aspirasi UPSI Bitara 2.0 yang menekankan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran serta pemerkasaan budaya ilmu dalam kalangan warga universiti. Melalui pendekatan interaktif dan praktikal, cerapan astronomi menjadi medium yang efektif dalam memperkukuh minat dan kefahaman terhadap bidang STEM.

Program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4: Pendidikan Berkualiti) dengan menyediakan pengalaman pembelajaran yang inklusif, interaktif dan berasaskan pemerhatian saintifik. Aktiviti seperti ini dilihat mampu membentuk pemikiran analitis, meningkatkan rasa ingin tahu serta menyemai penghargaan terhadap ilmu dalam kalangan warga UPSI.

Imej Bulan yang dirakam melalui teleskop dipaparkan secara langsung (live) pada komputer.



Naib Canselor UPSI, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff turut melawat tapak cerapan dan berinteraksi dengan penganjur serta peserta. Lawatan tersebut mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong pembudayaan sains yang memberi nilai tambah kepada warga kampus.

Secara keseluruhannya, cerapan astronomi sempena Perhimpunan Bulanan UPSI membuktikan bahawa pendekatan pembelajaran di luar bilik kuliah mampu memperkasa STEM melalui pengalaman langsung dan pemerhatian saintifik terhadap alam semesta, sekali gus menyemarakkan budaya ilmu dalam komuniti universiti.