Oleh: ChM. Dr. Aisyah binti Mohamad Sharif & Nurul Aisyah binti Fauzul Akram

Tanjung Malim, 11 Februari 2026 – Perhimpunan Bulanan Edisi Februari 2026 anjuran Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung dengan jayanya pada 11 Februari 2026 yang dirasmikan oleh Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, Naib Canselor UPSI.

Program ini menjadi lebih menarik dengan kehadiran pameran interaktif anjuran Pusat STEM dan Persatuan Mahasiswa Sains bertempat di Auditorium Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.

Program ini menghimpunkan 2000 warga fakulti dalam suasana penuh semangat, berteraskan tema “Menjelajah Keajaiban Sains”.

Gambar di atas memaparkan pameran interaktif yang dikendalikan oleh Pusat STEM di ruang auditorium.
Gambar di atas memaparkan pameran interaktif yang dikendalikan oleh Pusat STEM di ruang auditorium.

Pameran ini menampilkan gabungan aktiviti kreatif dan saintifik yang melibatkan dua orang staf dan empat orang pelajar PMS, bertujuan memberi semangat pembelajaran secara langsung kepada warga fakulti.

Antara tarikan utama ialah penggunaan teknologi Virtual Reality (VR) yang memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman pembelajaran secara imersif dan tiga dimensi.

Melalui simulasi ini, konsep-konsep sains yang abstrak dapat divisualisasikan dengan lebih jelas, sekali gus membantu meningkatkan kefahaman terhadap fenomena yang sukar dibayangkan melalui kaedah pengajaran konvensional.

Gambar di atas memaparkan pameran interaktif yang dikendalikan oleh Pusat STEM di ruang auditorium.
Gambar di atas memaparkan pameran interaktif yang dikendalikan oleh Pusat STEM di ruang auditorium.
Gambar di atas memaparkan pameran interaktif yang dikendalikan oleh Pusat STEM di ruang auditorium.

Bagi mengukuhkan elemen pendidikan, aktiviti Chemistry Jigsaw Puzzle turut diperkenalkan berasaskan topik Garam dalam silibus Kimia Tingkatan 4. Aktiviti ini menguji kefahaman peserta terhadap kaedah penyediaan garam, jenis-jenis garam serta persamaan kimia yang terlibat.

Pendekatan berbentuk permainan ini bukan sahaja merangsang pemikiran kritis, malah membuktikan bahawa pembelajaran kimia boleh dilaksanakan secara kreatif, menyeronokkan dan berimpak tinggi.

Demonstrasi Blue Flask Reaction turut mencuri perhatian hadirin apabila larutan kimia yang tidak berwarna berubah secara dramatik menghasilkan kilauan biru dalam tempoh tertentu.

Eksperimen ini berkait rapat dengan proses tindak balas redoks (pengoksidaan dan penurunan), di mana berlaku pemindahan elektron antara bahan tindak balas.

Perubahan warna yang terhasil merupakan indikator kepada perubahan keadaan pengoksidaan sesuatu bahan, sekali gus memberi gambaran jelas tentang konsep asas redoks dan kinetik kimia secara langsung dan menarik.

Aktiviti Oobleck pula memperkenalkan bahan bukan Newtonian yang menunjukkan sifat unik apabila bertindak seperti pepejal apabila dikenakan tekanan dan kembali seperti cecair apabila tekanan dilepaskan.

Demonstrasi ini membantu menjelaskan konsep daya, tekanan dan sifat fizik bahan dengan pendekatan yang mudah difahami serta interaktif.

Akhir sekali, eksperimen Surface Tension menerangkan konsep tegangan permukaan melalui interaksi antara molekul cecair yang menghasilkan daya lekitan di permukaan.

Melalui aktiviti ini, pengunjung dapat memahami bagaimana fenomena seperti pembentukan titisan air dan keupayaan objek ringan terapung berlaku dalam kehidupan seharian.

Penglibatan aktif pelajar dalam demonstrasi bukan sahaja memeriahkan suasana, malah memberi peluang kepada warga fakulti untuk menghubungkan teori dengan aplikasi sebenar, selaras dengan konsep experiential learning.

Pameran ini membuktikan bahawa sains boleh diteroka secara kreatif, interaktif dan menyeronokkan. Aktiviti sebegini turut menggalakkan kolaborasi antara staf dan pelajar, menjadikan perhimpunan bukan sekadar majlis rasmi, tetapi juga platform pembelajaran santai dan inspiratif.

Semoga semangat “Menjelajah Keajaiban Sains” terus disemarakkan dalam setiap usaha pengajaran, pembelajaran dan inovasi di UPSI.