Oleh: Ibrahim Saidin, Dr. Maizatul Najwa Jajuli, Muhammad Yusri Noordin, Muhammad Iqhwan Jumadi, Felicity Mengan John & Noor Mazlan Mohamed
TANJONG MALIM, 11 Februari 2026 – Kira-kira 2,000 staf Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menghadiri Perhimpunan Bulanan UPSI Edisi Februari 2026 yang berlangsung di Auditorium UPSI hari ini.
Perhimpunan anjuran Fakulti Sains dan Matematik (FSM) itu mengangkat tema “Menjelajah Keajaiban Sains” bagi memperkukuh pemahaman warga universiti terhadap kepentingan sains, astronomi dan teknologi dalam kehidupan serta pembangunan masa depan institusi.



Dekan FSM Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah dalam ucapan aluan berkata fakulti itu mencatat pelbagai pencapaian membanggakan sepanjang 2025, selain merakamkan penghargaan kepada pengurusan universiti atas kepercayaan menganjurkan perhimpunan berkenaan.
Majlis turut dihadiri Naib Canselor UPSI Md Amin Md Taff yang dalam ucapannya menyeru warga universiti terus menghayati semangat “Jiwa UPSI” sepanjang 2026 selaras dengan Aspirasi UPSI 2026.
Pada majlis sama, Md Amin menyempurnakan peluncuran Projek Konservasi Tumbuhan Terancam, Langka dan Endemik yang memfokuskan usaha penghijauan landskap serta kelestarian Kampus Sultan Azlan Shah.



Inisiatif itu bertujuan menyelamatkan 200 pokok daripada 41 spesies berstatus terancam, termasuk resak padi dan damar hitam siput besar, menerusi kerjasama strategik antara Pusat Biodiversiti dan Konservasi (CeBEC), FSM serta Pusat Ko-Kurikulum UPSI.
Perhimpunan itu turut diisi dengan empat segmen interaktif merangkumi bidang astronomi, biodiversiti dan matematik, termasuk perkongsian mengenai penentuan awal bulan Islam, migrasi burung pantai serta demonstrasi sains dan teknik pengiraan pantas.



Selain itu, pameran sains dan teknologi serta jualan produk pendidikan diadakan bagi memberi peluang kepada staf meneroka inovasi dan aplikasi sains secara lebih dekat.


Menurut universiti, penganjuran perhimpunan berkenaan mencerminkan komitmen UPSI dalam memperkasa budaya ilmu, inovasi dan kelestarian selaras dengan aspirasi kecemerlangan institusi.

