Port Dickson, 15 Februari 2026 – Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) telah berjaya menganjurkan Bengkel Penyelarasan Takwim dan Hala Tuju KHAR Tahun 2026 yang berlangsung dari 15 hingga 17 Februari 2026 bertempat di Institut Latihan FAMA, Port Dickson.
Program ini bertujuan untuk melaksanakan penilaian komprehensif terhadap program-program yang telah dijalankan sepanjang tahun 2025 bagi mengenal pasti tahap pencapaian, kelemahan serta peluang penambahbaikan. Penilaian ini penting bagi memastikan setiap program yang dirancang dan dilaksanakan memberikan keberkesanan serta impak yang optimum untuk pelaksanaan program pada masa akan datang.
Selain itu, program ini juga bertujuan merancang dan melaksanakan program-program berimpak tinggi bagi tahun 2026 yang selaras dengan visi dan misi KHAR. Dalam masa yang sama, perbincangan turut diadakan bagi menetapkan KPI KHAR yang jelas, sistematik dan terancang bagi memastikan pencapaian sasaran serta hala tuju organisasi pada tahun 2026.



Program berbentuk bengkel ini melibatkan seramai 30 orang Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMK) sidang 2025/2026, serta 11 orang wakil felo dan pihak pentadbiran KHAR
Majlis perasmian bengkel telah disempurnakan oleh Dr. Hj. Che Anuar Che Abdullah, Pengetua KHAR. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan pelaksanaan program-program yang berimpak tinggi dan berdaya saing selaras dengan visi, misi serta KPI yang telah ditetapkan oleh pihak kolej.
Sepanjang bengkel ini, pelbagai aktiviti telah dijalankan termasuk sesi aktiviti berkumpulan seperti ice breaking, slot Penilaian Pencapaian KHAR 2026 yang dibentangkan oleh Majlis Tertinggi, serta Pembentangan Kewangan Chillex. Bengkel ini turut disusuli dengan slot Penilaian Pencapaian KHAR 2026 oleh felo penasihat dan pihak pentadbiran.
Pada hari kedua, program diteruskan dengan aktiviti senamrobik pada waktu pagi, diikuti slot Team Building melalui aktiviti luar (outdoor). Seterusnya, berlangsung sesi Pembentangan Kertas Kerja dan Takwim 2026 yang dibentangkan oleh Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid bersama felo penasihat. Program pada waktu malam diteruskan dengan slot “KHAR: Hala Tuju Kita?”.
Hari terakhir bengkel, iaitu pada 17 Februari 2026, dimulakan dengan slot Resolusi dan Amanat Pengetua KHAR, diikuti sesi soal jawab (Q&A) sebelum bengkel ditamatkan dan para peserta bersurai.
Menurut Pengarah Program bengkel ini, Aisyah Farhah Kamarul Baharin, penganjuran bengkel ini telah memberi peluang kepada Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid untuk merancang program-program bagi semester akan datang dengan lebih tersusun, sistematik dan berimpak tinggi selaras dengan visi dan misi kolej.
Dalam amanatnya, Pengetua KHAR turut menegaskan kepentingan pelaksanaan program yang mampu memberi impak positif dan menyeluruh kepada penghuni kolej, sejajar dengan aspirasi pembangunan mahasiswa secara holistik.



Secara keseluruhannya, bengkel ini telah berjaya mencapai objektifnya dalam merangka hala tuju serta menyelaras perancangan program Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid bagi tahun 2026.
Berdasarkan penglibatan aktif para peserta serta bimbingan berterusan daripada pihak pentadbiran dan felo-felo, bengkel ini bukan sahaja berperanan sebagai platform perancangan strategik, malah turut berjaya memupuk semangat kesepaduan serta memperkukuh kepimpinan dalam kalangan pelajar.
Sehubungan itu, program-program yang dirancang diyakini mampu dilaksanakan dengan berkesan dalam usaha mengharumkan nama KHAR serta melahirkan pelajar, khususnya barisan Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR), yang berdaya saing dan berkualiti.
