OLEH: ADNAN AIMAN NOR HASHIM
TANJONG MALIM, 8 MAC 2026 – Kepelbagaian latar belakang budaya bukan penghalang kepada perpaduan, malah menjadi kekuatan dalam membentuk komuniti mahasiswa yang lebih inklusif dan harmoni.
Berteraskan aspirasi tersebut, Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Program HARMONIA: “The Convergence of Diversity”sebagai platform dialog terbuka bagi menghubungkan mahasiswa tempatan dan antarabangsa dalam satu ruang perkongsian yang bermakna.
Program yang berlangsung pada Ahad bermula jam 08.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini dijalankan secara dalam talian menerusi platform Google Meet serta siaran langsung YouTube dengan kerjasama President University, Indonesia dan Asia Pacific University, Malaysia.


Exchange Mobility Scholarship Awardee

Inisiatif ini menghimpunkan mahasiswa antarabangsa yang sedang menuntut di Malaysia untuk berkongsi pengalaman sebenar berkaitan kehidupan akademik, penyesuaian budaya serta interaksi sosial sepanjang menetap di negara ini.
Program HARMONIA bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan hidup dalam suasana harmoni meskipun wujud perbezaan dari segi latar belakang, pemikiran dan budaya.
Selain itu, program ini juga berperanan membina sikap saling menghormati, memperkukuh nilai toleransi serta menggalakkan kerjasama antara mahasiswa dalam komuniti kampus yang pelbagai.
Majlis dimulakan dengan sesi persiapan dan pendaftaran peserta sebelum diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku, bacaan doa serta sesi fotografi rasmi secara maya.
Acara utama program iaitu Forum HARMONIA: “The Convergence of Diversity” berlangsung dari pukul 9.00 pagi hingga 11.00 pagi. Forum ini dikendalikan oleh moderator, Sivaganesh Morgen yang merupakan Rakan Exco Perpaduan dan Integrasi Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid Sidang 2025/2026.
Forum tersebut menampilkan tiga panel jemputan yang berkongsi pengalaman serta perspektif mereka berkaitan kehidupan sebagai mahasiswa dalam persekitaran yang berbilang budaya, iaitu Muhamad Yusuf Ismail dari President University, Htet Oo Lwin yang merupakan Student Ambassador dan President Myanmar Community di Asia Pacific University serta Md Raysul Islam Siyam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Perbincangan forum memberi peluang kepada para peserta untuk memahami realiti kehidupan mahasiswa antarabangsa daripada sudut akademik, sosial dan budaya.
Sesi soal jawab yang diadakan selepas forum turut membuka ruang interaksi secara langsung antara peserta dan panel, sekali gus menggalakkan dialog terbuka mengenai perpaduan, toleransi serta keharmonian dalam komuniti kampus.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi perasmian penutupan yang menampilkan ucapan daripada Pengarah Program, Nursyazwani Nadhirah, diikuti ucapan Felo Penasihat, Muhamad Rusham Rustan Nursim.
Pengarah Program, Nursyazwani Nadhirah, menyifatkan Program HARMONIA: “The Convergence of Diversity” sebagai sebuah inisiatif yang menjadi platform penting dalam menyatukan mahasiswa tempatan dan antarabangsa melalui perkongsian pengalaman serta dialog antara budaya.
“Program HARMONIA bukan sekadar sebuah forum perkongsian biasa, tetapi merupakan ruang yang membuka peluang kepada mahasiswa daripada pelbagai latar belakang untuk saling memahami dan menghargai kepelbagaian budaya.
“Melalui program ini, kami berharap dapat menyemai nilai toleransi, empati dan komunikasi terbuka dalam kalangan mahasiswa. Saya percaya inisiatif seperti ini mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti kampus yang lebih harmoni, inklusif dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Felo Penasihat Program, Encik Muhamad Rusham bin Rustan Nursim, meluahkan rasa bangga terhadap penganjuran Program HARMONIA: “The Convergence of Diversity” serta berharap agar inisiatif seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh perpaduan dalam kalangan mahasiswa.
“Saya berasa amat bangga dengan usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh pihak penganjur dalam menjayakan program ini. Program seperti ini wajar diteruskan kerana program ini memberikan ruang kepada mahasiswa untuk berkongsi pengalaman, memahami kepelbagaian budaya serta memupuk nilai toleransi dan saling menghormati.
“Saya berharap lebih banyak program seumpama ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang bagi membentuk komuniti mahasiswa yang lebih harmoni dan bersatu padu,” katanya.



Secara keseluruhannya, Program HARMONIA: “The Convergence of Diversity” berjaya menjadi wadah pertemuan idea dan pengalaman yang menghubungkan kepelbagaian budaya dalam satu ruang dialog yang harmoni.
Program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh perpaduan dalam kalangan mahasiswa serta membentuk komuniti kampus yang lebih inklusif, saling menghormati dan berdaya saing dalam konteks masyarakat global.
Penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini terutamanya rakan kolaborasi daripada President University dan Asia Pacific University, barisan panel jemputan, pihak pentadbiran Kolej Harun Aminurrashid, serta seluruh jawatankuasa pelaksana yang telah memberikan komitmen dan kerjasama sepanjang penganjuran program ini.

