Oleh: Nur ‘Ain Mazlan Nasir
Tanjong Malim, 23 Februari 2026- Program Podcast Varsiti MADANI: “Mengupas Fokus Utama KPT” di bawah anjuran Exco Akademik dan Kerjaya, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrasid (KHAR) sidang 2025/2026 Universiti Pendidikan Sultan Idris yang diadakan bertujuan untuk meningkatkan penglibatan mahasiswa terhadap isu nasional dan global. Program ini dilaksanakan melalui penerbitan empat episod podcast ilmiah bersama ilmuwan daripada empat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berbeza bagi memperkukuh kefahaman dan kesedaran mahasiswa terhadap fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Program ini menyediakan platform intelektual yang terbuka dan kontemporari bagi melatih mahasiswa menjadi pemimpin wacana, pemikir serta penganalisis isu-isu semasa. Selain itu, program ini juga berbentuk siri podcast yang membincangkan topik ilmiah berkaitan empat fokus utama KPT. Program ini telah dijalankan dari 22 November 2025 hingga 23 Februari 2026 yang bertempat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Menurut Evanda selaku Pengarah Program, program ini bukan sahaja menjadi ruang kepada mahasiswa untuk berfikir secara kritis dan berani menyuarakan pandangan, tetapi juga memupuk budaya ilmu melalui komunikasi profesional yang berlandaskan nilai MADANI. Perkongsian ini turut disiarkan secara langsung melalui platform dalam talian seperti Youtube bagi membolehkan mahasiswa dari universiti lain mengikuti wacana secara serentak.
Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada mahasiswa UPSI dan mahasiswa IPT serantau. Diharapkan agar program ini dapat menjadi wadah baharu dalam memperkukuh governan, meningkatkan kefahaman pelajar terhadap dasar KPT, serta melahirkan generasi mahasiswa yang berfikiran matang dan bertanggungjawab terhadap masa depan pendidikan tinggi negara.



Pada 22 November 2025 (Sabtu), telah berlangsung program Podcast Varsiti MADANI: “Mengupas Fokus Utama KPT” Siri 01. Pengisian program dimulakan dengan kehadiran Ahli Jawatankuasa Pelaksana dan Panel Jemputan iaitu Profesor Dr. Mohd Izwan Bin Shahril, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI dan Saudara Ng Zhen Fan Shankar, Tokoh Siswa Negara 2025 merangkap mantan Majlis Perwakilan Pelajar Sidang 2023/2024. Siri 01 yang bertemakan TUNJANG: “Memimpin dengan Hikmah, Mengurus dengan Amanah”. Perbincangan ini memberi tumpuan kepada topik governan dan kepemimpinan yang dikupas secara mendalam oleh kedua-dua panel berdasarkan pengalaman dan pandangan mereka terhadap hala tuju pendidikan tinggi negara.
Berdasarkan perbincangan tersebut, pembangunan modul tadbir urus profesional dan platform musyawarah inklusif dikenal pasti sebagai langkah strategik untuk melahirkan pemimpin mahasiswa yang objektif serta mementingkan penglibatan akar umbi. Penerapan elemen integriti dalam latihan kepimpinan membolehkan mahasiswa mengurus organisasi berasaskan peraturan dan rasional berbanding emosi, manakala ruang dialog yang inklusif pula memastikan setiap dasar universiti mendapat sokongan padu sebelum dilaksanakan.
Bagi menjamin keberkesanan inisiatif ini, Sistem Semakan KPI Suku Tahun akan dilaksanakan untuk membolehkan pemantauan dinamik dan pembetulan segera, selaras dengan penerapan Budaya Kerja Berteraskan Nilai Ihsan. Secara keseluruhannya, resolusi ini merupakan satu anjakan paradigma yang menggabungkan ketegasan tadbir urus dengan empati manusiawi, bagi membentuk ekosistem kepimpinan yang telus, berintegriti, dan sentiasa bersedia menyumbang bakti kepada universiti serta negara. Tema ini memberi sumbangan kepada pelaksanaan Dasar Pemerkasaan Tadbir Urus dan Autonomi Bertanggungjawab Institusi Pendidikan Tinggi dalam Dasar KPT 2026-2035.



Pada 6 Disember 2025 (Sabtu), Siri 02 telah berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan memberi tumpuan kepada pendekatan yang lebih berkesan dalam penyediaan bakat berkualiti tinggi untuk negara menerusi tema “Menyelusuri Bakat Terbaik Negara: Dari Kampus ke Pentas Dunia”. Podcast ini menampilkan panel jemputan berwibawa iaitu YBhg. Profesor Dato’ Ts. Dr. Norazah binti Mohd Nordin, Pengarah Pusat Perundingan Strategik Antarabangsa dan Matlamat Pembangunan Mampan, serta YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Helmi bin Norman, Jabatan Pendidikan Digital dan Futuristik, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Panel berkongsi pandangan berkaitan pembangunan bakat dan pendidikan masa hadapan. Penganjuran podcast ini amat signifikan terhadap pembangunan mahasiswa kerana dapat memberi pendedahan awal tentang keperluan industri dan hala tuju pendidikan tinggi negara serta mempersiapkan mahasiswa sebagai graduan berdaya saing diperingkat global.
Transformasi Kurikulum Sedia Masa Depan dan Pemerkasaan Ekosistem Pendigitalan menjadi teras utama dalam memastikan graduan kekal relevan melalui suntikan elemen SDG, AI, serta struktur Micro-credentials yang fleksibel. Langkah ini diperkukuh dengan garis panduan etika AI nasional dan dana khas bagi mewujudkan ruang pembelajaran futuristik, sekali gus menyokong sistem pendidikan yang berpaksikan teknologi tanpa mengabaikan integriti akademik. Melalui Pengukuhan Jaringan Global dan Pembangunan Kapasiti Akademia, universiti tempatan disasarkan menjadi hub mobiliti antarabangsa sementara para pensyarah menjalani program reskilling berterusan dalam teknologi memuncul seperti Metaverse bagi memenuhi keperluan generasi Z dan Alpha.
Sebagai rumusan, resolusi ini bertindak sebagai pemangkin kepada Pengukuhan Jati Diri Madani dengan mengimbangi kemahiran High Tech dan nilai High Touch yang menjadi aspirasi negara. Sinergi antara penguasaan teknologi dunia dan kekuatan nilai kemanusiaan ini bukan sahaja bakal melahirkan bakat yang kalis masa hadapan, malah mampu meletakkan graduan Malaysia sebagai pemimpin berpengaruh di pentas global. Justeru, marilah kita bersama-sama merealisasikan visi “Menyelusuri Bakat Terbaik Negara: Dari Kampus ke Pentas Dunia.” Tema ini signifikan kepada elemen Dasar Pemerkasaan Kebolehpasaran Graduan dan Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi dalam Dasar KPT yang baharu.



Siri 03 telah diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 17 Januari 2026 (Sabtu) dengan tema “Intelek Berkongsi, Negara Berinovasi”. Panel jemputan bagi program ini ialah YBrs. Profesor Dr. Ahmad Fauzi bin Abdul Hamid, Profesor Kehormat Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, dan YBrs. Profesor Madya Ir. Dr. Syamsul Rizal bin Abd Shukor, Pengarah Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik (CDAE), Universiti Sains Malaysia, bagi membincangkan isu kepimpinan, tadbir urus dan pengurusan berintegriti dalam pendidikan tinggi. Wacana yang dibawa menekankan peranan intelektual dalam menyokong inovasi negara serta pengamalan nilai amanah selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. Pendedahan ini memberi manfaat besar kepada mahasiswa dalam membentuk kefahaman terhadap prinsip kepimpinan, meningkatkan kesedaran tanggungjawab sosial, dan menggalakkan penglibatan aktif sebagai pemimpin masa hadapan yang beretika.
Strategi Penyelarasan Semula Kriteria Kenaikan Pangkat dan Pengiktirafan Produk Inovasi sebagai Tesis merupakan anjakan besar dalam memastikan sumbangan akademik memberi impak langsung kepada masyarakat dan industri, bukan sekadar tertumpu kepada penerbitan jurnal tradisional. Usaha ini diperkukuh dengan Integrasi AI dalam Kurikulum Organik serta pemerkasaan platform “Micro-credentials” Global yang membolehkan kepakaran universiti diakses secara fleksibel oleh komuniti luar. Melalui pendekatan ini, universiti bukan sahaja menjadi gedung ilmu, malah berfungsi sebagai makmal inovasi yang responsif terhadap keperluan kerjaya dan penyelesaian masalah realiti.
Sebagai rumusan, resolusi ini bermatlamat untuk membentuk ekosistem pendidikan yang mampan dengan menerapkan budaya “Adapt & Adopt” dalam kepimpinan mahasiswa, di mana kecanggihan teknologi diseimbangkan dengan jati diri ketimuran. Integrasi teknologi dan pengukuhan hubungan universiti-masyarakat ini akan membantu Malaysia melahirkan golongan intelek yang bukan sahaja berilmu tinggi, malah berupaya memacu kemajuan negara secara inklusif dan praktikal. Dengan ini, universiti akan terus kekal sebagai nadi inovasi yang relevan dalam mendepani cabaran zaman yang kian dinamik. Tema ini releven dalam Dasar KPT 2026-2035 yang menekankan kepada pelaksanaan Dasar Pemerkasaan Penyelidikan, Inovasi dan Tadbir Urus Berintegriti Institusi Pendidikan Tinggi.



Di samping itu, sesi terakhir Siri 04 telah berlangsung pada 23 Februari 2026 (Isnin) di Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama panel jemputan iaitu YBrs. Profesor Dr. Mohd Azizudin bin Mohd Sani selaku Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan saudari Siti Zulaikha binti Mohd Zaharulnizam iaitu Timbalan Naib Yang Dipertua, Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Podcast ini membawakan topik berkaitan “Kewibawaan Akademia dan Warga Kampus” yang menekankan peranan ahli akademik, pentadbir dan mahasiswa dalam memperkukuh kecemerlangan institusi pendidikan tinggi sebagai medan pembentukan intelek, nilai moral dan tadbir urus yang berintegriti. Program ini bertujuan membuka ruang dialog kritikal antara warga kampus tentang cabaran dan peluang dalam mengukuhkan kepimpinan akademik serta membina budaya kampus yang inklusif dan progresif. Inisiatif ini penting dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja berdaya saing daripada segi akademik tetapi juga memiliki kesedaran sivik, nilai etika profesional dan kemampuan berfikir secara reflektif untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Pembangunan Kerangka Kompetensi Akademia MADANI dan Pemerkasaan Autonomi Terpimpin Mahasiswa menjadi tonggak utama dalam menyelaraskan modul kepimpinan yang berpaksikan keberanian intelektual serta etika profesional. Melalui penyediaan ruang yang lebih luas bagi organisasi pelajar seperti MPP dalam proses membuat keputusan, kewibawaan mahasiswa dalam pentadbiran dapat diasah secara praktikal dan matang. Usaha ini diperkukuh lagi dengan Program Mentor-Mentee Kewibawaan yang mewujudkan sinergi antara profesor berpengalaman dan pemimpin pelajar, sekali gus menjamin kelestarian kepimpinan yang berwibawa di dalam ekosistem kampus. Tema ini telah memberi sumbangan terhadap pelaksanaan Dasar Pemerkasaan Budaya Akademik, Kepimpinan Institusi dan Kesejahteraan Warga Kampus dalam Dasar KPT 2026-2035.
Kesimpulannya, inisiatif ‘Kampus Intelek’ melalui budaya Real Talk akan terus berperanan sebagai platform rasmi dialog terbuka dalam membina ekosistem kampus yang berintegriti tinggi serta berdaya saing. Sepanjang penganjurannya, podcast ini telah merekodkan sebanyak 5,000 tontonan keseluruhan, sekali gus mencerminkan tahap keterlibatan dan sokongan yang amat memberangsangkan daripada warga kampus dan masyarakat umum. Maklum balas yang diterima menerusi platform YouTube juga menunjukkan respons yang positif, dengan harapan agar mahasiswa dapat mengintegrasikan ilmu secara teori dan praktikal secara lebih berkesan. Resolusi ini menegaskan bahawa masa depan kecemerlangan negara bermula daripada keberanian warga kampus hari ini untuk bersuara serta bertindak secara berhemah dan bertanggungjawab. Dengan semangat jati diri yang kukuh, kita akan memastikan universiti kekal sebagai wadah transformasi intelektual, selaras dengan seruan, “Real Talk Kampus: Siapa Lagi Kalau Bukan Kita?”.
