Oleh: Amir Farhan Md Radzi
Tanjong Malim, 6 Mac 2026 – Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh (MMKAHS) Sidang 2025/2026, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Program ceramah Nuzul Al-Quran yang dinamakan sebagai Program Nur Sirat Insani (NUSI) 1.0: Nuzul Al-Quran, Rahmat Alam bersempena dengan sambutan Nuzul Al-Quran yang jatuh pada 7 Mac 2026.
Kesedaran serta kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan mahasiswa terus diperkukuh melalui penganjuran program Nur Sirat Insani (NUSI) 1.0: Nuzul Al-Quran, Rahmat Alam yang berjaya mencatat lebih 450 tontonan secara langsung. Pencapaian ini jelas menggambarkan sambutan yang amat menggalakkan serta minat tinggi mahasiswa terhadap pengisian kerohanian bersempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan.



Program yang dianjurkan oleh Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh (MMKAHS) dengan kerjasama persatuan di bawah Gagasan Islam UPSI seperti Kelab Al-Mursyidin (AMC), Persatuan Pendidikan Islam (PPI), serta Kolej-Kolej kediaman ini bertujuan menyemarakkan lagi penghayatan mahasiswa terhadap peristiwa Nuzul Al-Quran. Peristiwa agung ini merupakan detik bermulanya penurunan wahyu yang menjadi panduan utama dalam membentuk kehidupan manusia yang berlandaskan nilai-nilai Islam.
Melalui program ini, mahasiswa turut didorong untuk membina sahsiah diri yang lebih berprinsip, berdisiplin serta berakhlak mulia dengan menjadikan Al-Quran sebagai asas pembentukan jati diri.
Selain itu, program ini juga menerima sokongan padu daripada pelbagai persatuan mahasiswa merentasi institusi pengajian tinggi. Antaranya termasuk Majlis Perwakilan Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI), Universiti Putra Malaysia serta Persatuan Mahasiswa Islam (PMI), Universiti Sains Malaysia.
Kerjasama erat antara mahasiswa dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) ini bukan sahaja memperlihatkan kesatuan pemikiran dalam kalangan mahasiswa Islam, malah mencerminkan semangat ukhuwah yang kukuh dalam usaha bersama mengangkat martabat Al-Quran sebagai sumber ilmu dan pedoman kehidupan.
Selain pengisian ceramah yang bermanfaat, program ini turut diserikan dengan sesi cabutan bertuah yang diadakan sejurus selepas tamatnya sesi perkongsian. Inisiatif ini berjaya mencetuskan suasana lebih ceria serta memberi peluang kepada para peserta untuk membawa pulang hadiah menarik sebagai tanda penghargaan atas penyertaan mereka.


Penganjuran Program Nur Sirat Insani (NUSI) 1.0: Nuzul Al-Quran, Rahmat Alam ini diharapkan dapat menyemai rasa kecintaan dan penghayatan yang lebih mendalam terhadap Al-Quran dalam kalangan mahasiswa. Program ini juga menjadi ruang untuk mengingatkan kembali kepentingan peristiwa Nuzul Al-Quran sebagai detik bermulanya penurunan wahyu yang menjadi panduan utama dalam kehidupan manusia.
Secara tidak langsung, program ini bukan sahaja berperanan sebagai medium perkongsian ilmu dan pengisian rohani, malah menjadi wadah untuk mengeratkan ukhuwah dalam kalangan mahasiswa serta menggalakkan mereka menjadikan Al-Quran sebagai pedoman dalam membentuk sahsiah diri yang berilmu, berakhlak dan berprinsip.
