Gambar kenangan bersama pelajar SMK GedangsaGambar kenangan bersama pelajar SMK Gedangsa

Oleh: Noradnin Nafeeza Md Zahari dan Dr. Nurul Asyikin Hassan

KUALA KUBU BHARU, 21 November 2025 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pertubuhan IKRAM Malaysia Hulu Selangor dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gedangsa menganjurkan program “NextGen History Makers: Model Inovasi Ehsond sebagai Terapi Akademik dalam Pembelajaran Sejarah SPM” bagi membantu pelajar meningkatkan penguasaan subjek Sejarah.

Program yang diadakan di SMK Gedangsa itu melibatkan penyertaan 65 pelajar Tingkatan Tiga dan Empat, khususnya mereka yang memerlukan bimbingan tambahan dalam persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Inisiatif berkenaan bertujuan memperkukuh jaringan kerjasama akademik antara institusi pendidikan tinggi, pertubuhan masyarakat dan sekolah, di samping memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar melalui pendekatan inovatif dan interaktif.

Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti sesi pembelajaran bersama “Talented Teacher” yang dikendalikan guru pelatih UPSI dalam bidang Sejarah menerusi kaedah pembelajaran interaktif serta aktiviti berasaskan permainan.

Pendekatan tersebut memberi penekanan kepada teknik pecutan pembelajaran bagi membantu pelajar memahami fakta sejarah secara lebih sistematik, sekali gus meningkatkan minat serta motivasi mereka terhadap subjek berkenaan.

Antara objektif utama program ialah membantu pelajar menguasai teknik pembelajaran berkesan sebelum peperiksaan SPM serta mendedahkan mereka kepada penggunaan bahan bantu kognitif yang dapat memperkukuh kefahaman fakta secara tersusun dan tepat.

Program itu turut mendapat sokongan Penolong Kanan Pentadbiran SMK Gedangsa Norlida Yorp Nadzri, Ahli Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan IKRAM Malaysia Dr Shaikh Mansoor Shaikh Ahmad serta Pengarah Program Dr Siti Zahrah Mahfood.

Para peserta yang menyertai aktiviti yang dikelolakan oleh talented teachers
Para peserta bermain aktiviti bola beracun bersama fasilitator
Slot bersama Dr. Shaikh Mansoor Bin Shaikh Ahmad (JK Pendidikan Pertubuhan Ikram Malaysia)

Menurut mereka, penganjuran program seumpama itu memberi impak positif kerana berjaya menggabungkan elemen penyelidikan, kreativiti dan kesejahteraan emosi pelajar, sekali gus memperkukuh peranan UPSI sebagai universiti pendidikan yang menyokong pembangunan holistik komuniti.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk bimbingan teknik pembelajaran kreatif seperti teknik Loci Interaktif, Our History Body dan Correct-It, selain pembelajaran berasaskan permainan serta slot motivasi yang dikendalikan guru pelatih UPSI.

Program berkenaan diselaraskan oleh Dr Siti Zahrah Mahfood dan Dr Nurul Asyikin Hassan dengan bantuan guru pelatih Jabatan Sejarah UPSI kohort Zaaba 2023/2025.

Penganjuran program itu diharap dapat meningkatkan keyakinan pelajar dalam menjawab soalan Sejarah secara lebih berstruktur serta membantu mereka mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM kelak.