Oleh : Chempaka Nur Ariesha Juhari, Muhammad Adham Hamzi Abu Seman & Dr. Mohamad Ihsan Muhamad Ismail

Tanjong Malim, 28 Februari 2026 – Program Bicara Kemanusiaan 2.0: Misi Kemanusiaan Menentang Genosid Global merupakan sebuah program ilmiah dan kesedaran sosial yang dianjurkan oleh Universiti Sains Malaysia melalui Persatuan Pelajar Ilmu Kemanusiaan (PPIK) dengan kerjasama Persatuan Geografi di bawah Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai rakan kolaborasi strategik.

Program ini juga melibatkan beberapa institusi pengajian tinggi awam serta swasta yang lain termasuk Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Sultan Azlan Shah.

Perkongsian ini berjaya dilaksanakan secara dalam talian menerusi platform Webex serta menghimpunkan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang institusi seramai 700 orang peserta dalam usaha memperkukuh kesedaran terhadap isu genosid dan krisis kemanusiaan global.

Dalam era globalisasi dan kemajuan teknologi maklumat, mahasiswa perlu didedahkan dengan wacana kemanusiaan yang berfakta dan berteraskan perspektif akademik bagi membentuk pemikiran kritis, empati serta tanggungjawab sosial.

Justeru, program ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 10 (Pengurangan Ketidaksamarataan), SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh) serta SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat).

Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Jasni Sulong, Dekan Pusat Pelajar Ilmu Kenanusian yang menyatakan bahawa penganjuran program ini telah berjaya menyatukan tujuh buah universiti dalam satu platform wacana kemanusiaan yang bermakna.

Beliau turut menekankan kepentingan kolaborasi rentas universiti dalam membina kesedaran sosial, nilai empati serta pemikiran kritis dalam kalangan mahasiswa bagi melahirkan generasi yang prihatin terhadap isu kemanusiaan sejagat.

Slot perbincangan utama menampilkan barisan panel jemputan yang berpengalaman, iaitu Prof. Madya Dr. Aiza binti Maslan @ Baharudin, Pensyarah Kanan Bahagian Falsafah dan Tamadun, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid, Profesor Kehormat (Sains Politik), Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia serta Prof. Madya Dr. Abu Hanifah Bin Haris, Ketua Jabatan Bahagian Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

Para panel telah mengupas isu genosid, termasuk definisi, konsep dan implikasinya terhadap masyarakat, serta membincangkan kesan perbuatan memusnahkan sesuatu kumpulan secara sengaja dari pelbagai aspek seperti fizikal, mental, sosial dan budaya.

Selain itu, perbincangan turut menyentuh isu budaya menyalahkan pihak lain yang semakin menular di peringkat global, terutamanya semasa pandemik COVID-19, yang telah mencetuskan peningkatan xenofobia, diskriminasi dan keganasan berasaskan kaum serta agama.

Panel juga membentangkan data dan laporan berkaitan serangan terhadap institusi kesihatan serta petugas perubatan di zon konflik, khususnya di Gaza, sebagai bukti pencabulan hak asasi manusia dan pelanggaran prinsip kemanusiaan sejagat.

Perkongsian ini disertai dengan naratif kemanusiaan yang menyentuh emosi, sekali gus memberi gambaran jelas tentang penderitaan mangsa konflik, terutamanya golongan kanak-kanak dan wanita.

Secara keseluruhannya, Bicara Kemanusiaan 2.0 telah berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang ilmiah, reflektif dan berimpak tinggi.

Program ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman mahasiswa terhadap konsep genosid dan krisis kemanusiaan, malah membentuk kesedaran bahawa setiap individu mempunyai peranan dalam memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan sejagat.

Penganjuran ini membuktikan komitmen berterusan Persatuan Geografi dan rakan kolaborasi dalam melahirkan generasi mahasiswa yang berintegriti, prihatin dan bersedia menjadi agen perubahan kepada masyarakat dan dunia.