Oleh: Nurul Izzah binti Fazeli Shah dan Dr. Vestly Kong Liang Soon
Tanjong Malim, 28 Februari 2026 – Dalam usaha pembinaan sahsiah dan profesionalisme
dalam kalangan bakal pendidik, program Ceramah Bicara Sahsiah: “Pendidik Berjiwa
Ramadan” anjuran EXCO Latihan dan Pembangunan Sahsiah Persatuan Mahasiswa Program
Pendidikan Khas (PM2PK) telah berjaya dilaksanakan dengan penuh penghayatan dan
inspirasi. Bersempena dengan ketibaan bulan Ramadan yang mulia, program ini diadakan
sebagai salah satu medium untuk menyuntik nilai kerohanian dalam jiwa setiap pendidik agar
selari dengan tuntutan profesion dan aspirasi pendidikan negara.
Program ini juga merupakan salah satu program dengan kerjasama semua persatuan di bawah
Karnival Ramadan Fakulti Pembangunan Manusia 2026 termasuklah Persatuan Sahabat
Komuniti (PESKO), Persatuan Pendidikan Awal Kanak-kanak (PPAKK), Persatuan
Kaunseling Aspirasi Suburkan Insan Harmoni (KASIH), Persatuan Psikologi (PSYCH), serta
Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAKK) yang telah mendapat sambutan
sebanyak 200 penyertaan dimana bukan sahaja disertai oleh mahasiswa/i UPSI, malah dalam
kalangan mahasiswa/i dari IPTA dan IPTS yang lain.

Ucapan perasmian oleh Profesor Madya Dr. Abdul Halim bin Masnan, Timbalan Dekan Hal
Ehwal Pelajar dan Alumni Fakulti Pembangunan Manusia membuka tirai program dengan
menegaskan bahawa seorang pendidik mempunyai tanggungjawab yang besar dimana bukan
sekadar mendidik murid tetapi mendidik diri sendiri dengan ilmu pendidikan serta kemahiran
yang dapat memberi manfaat kepada diri sebagai pendidik suatu hari kelak. Beliau turut
mengatakan kekuatan emosi dan spiritual sangat penting dalam menjadi panduan kepada
pendidik supaya sentiasa sabar dalam proses mendidik dengan nilai berteraskan Ramadan.
Penganjuran program ceramah ini menekankan bahawa bulan Ramadan bukanlah sekadar
bulan ibadah semata, tetapi menjadi medan latihan pembentukan disiplin diri, kesabaran,
keikhlasan serta empati terhadap orang lain. Tema “Pendidik Berjiwa Ramadan” juga
mengangkat martabat peranan pendidik yang bukan sahaja menyampaikan ilmu kepada murid,
malah mendidik dengan hati, menanam nilai dan membimbing dengan kasih sayang
bersesuaian dengan ramuan pendidikan iaitu proses pembelajaran, berhati baik dan penyayang.

Antara pengisian utama ceramah yang disampaikan oleh Encik Mohd Hafizzudin bin Kadir,
guru Sekolah Menengah Arab (JAIM) Darul Falah sebagai penceramah jemputan termasuklah
pendidik berjiwa Ramadan ialah guru yang mendidik berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah
dengan taqwa, ikhlas dan sabar. Tugas pendidik dalam memberi pengajaran sebagai ibadah,
melaksanakan amanah dengan integriti dan disiplin, serta membimbing murid dengan hikmah
walau berdepan dengan pelbagai cabaran. Guru juga perlu sentiasa bermuhasabah dan
mengiringi usaha mendidik dengan doa kerana perubahan hati murid adalah dengan izin Allah.
Kejayaan penganjuran program ceramah ini turut dizahirkan melalui sokongan dan dorongan
penuh daripada Dr. Vestly Kong Liang Soon selaku Penasihat PM2PK serta Dr. Noraini binti
Abdullah, Ketua Jabatan Pendidikan Khas yang memainkan peranan penting dalam dalam
memastikan setiap perancangan program berjalan dengan teratur dan berkesan.

Secara keseluruhannya, program Ceramah Bicara Sahsiah: “Pendidik Berjiwa Ramadan” ini
berjaya mencapai objektif dalam meningkatkan kesedaran tentang peranan pendidik dalam
pembentukan sahsiah serta penerapan nilai murni berteraskan Ramadan. Semoga dengan
perkongsian ilmu dan pengalaman dalam ceramah ini dapat menyuburkan nilai-nilai positif
dalam diri pendidik serta menjadi panduan dalam pembentukan pendidik yang berilmu,
berakhlak dan berjiwa besar.
