sesi agihan bubur lambuk ke Lokasi yangtelah ditetapkansesi agihan bubur lambuk ke Lokasi yangtelah ditetapkan

Oleh Aida

TANJONG MALIM, 4 Mac 2026 – Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (MPP UPSI) terus membuktikan komitmennya dalam melahirkan barisan pemimpin mahasiswa yang berjiwa rakyat dan berwawasan melalui penganjuran Program Bubur Lambuk Perdana yang berlangsung di Masjid Al-Mursyidin, hari ini.

Program yang digerakkan sepenuhnya oleh inisiatif kepimpinan pelajar ini bertujuan untuk menggalakkan hubungan baik antara mahasiswa UPSI, agensi luar dan masyarakat setempat melalui penyediaan serta pengagihan juadah berbuka puasa bagi membina ukhuwah dan semangat kebersamaan. Selain itu, program ini juga dilaksanakan bagi meningkatkan ketakwaan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kepada Allah SWT melalui penglibatan dalam amalan bersedekah serta kerjasama dalam penyediaan juadah berbuka puasa, sekaligus memberi peluang untuk melatih kemahiran insaniah, nilai murni dan tanggungjawab sosial selaras dengan objektif program serta aspirasi universiti.

Dalam program ini, bubur lambuk telah disediakan oleh MPP UPSI sebelum diagihkan kepada komuniti yang terlibat. Sebanyak lapan lokasi telah dipilih sebagai destinasi agihan iaitu Masjid At-Taqwa Proton City, Masjid Proton City, Masjid Behrang Ulu, Balai Bomba Tanjong Malim, Balai Polis Tanjong Malim, Surau Al-Hidayah Kota Malim Prima, Masjid Ikhwan Taman Bernam Baru dan Masjid Jamek Tanjong Malim. Inisiatif ini mencerminkan komitmen MPP UPSI dalam menyantuni masyarakat setempat serta menghargai jasa petugas barisan hadapan di sekitar daerah Muallim.

proses dan persiapan memasak bubur lambuk
MPP UPSI Bersama sukarelawan bubur lambuk
 

Di samping itu, sebahagian kecil daripada bubur lambuk yang disediakan turut diagihkan kepada para pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai tanda kebersamaan dan keprihatinan terhadap kebajikan warga kampus sepanjang bulan Ramadan.

Penyertaan aktif MPP UPSI dalam program seumpama ini membuktikan bahawa universiti terus komited dalam menyokong aspirasi pemimpin muda untuk memikul tanggungjawab sosial dan memainkan peranan aktif dalam pembangunan masyarakat serta negara. Diharapkan pengalaman yang diperoleh melalui program kesukarelawanan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh kepimpinan pelajar dan membawa impak positif yang berterusan kepada seluruh komuniti kampus UPSI dan masyarakat luar.