Oleh Aminuddin Al-Hafiz
TANJONG MALIM, 27 Januari 2026 — Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan satu kunjungan hormat ke Seksyen Pembangunan Sahsiah (SPS) sebagai usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam memperkasa pembangunan sahsiah dan kepimpinan mahasiswa.
Kunjungan ini menjadi platform penting dalam mempererat hubungan antara kepimpinan pelajar dan pihak pengurusan universiti.
Penyertaan MPP dalam kunjungan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan dua hala, membincangkan inisiatif pembangunan sahsiah mahasiswa secara holistik, serta meneroka peluang kerjasama dalam pelaksanaan program berteraskan kepimpinan dan nilai murni. Selain itu, ia turut memperkasa peranan MPP sebagai penghubung antara mahasiswa dan pihak universiti.
Menurut Ketua Seksyen Pembangunan Sahsiah, Encik Ahmad Rifaie bin Amin, pembangunan sahsiah mahasiswa merupakan elemen penting dalam melahirkan graduan yang seimbang dari segi intelek, emosi dan nilai kemanusiaan.
Beliau turut menekankan bahawa kerjasama erat antara pihak pentadbiran universiti dan kepimpinan pelajar amat diperlukan bagi memastikan setiap inisiatif memberi impak yang menyeluruh.
Mahasiswa juga diseru untuk berperanan sebagai agen perubahan yang berintegriti serta mampu menyumbang kepada kesejahteraan komuniti kampus.



Sepanjang kunjungan hormat ini, sesi dimulakan dengan pengenalan barisan kepimpinan MPP UPSI Sidang 2025/2026 kepada pihak SPS, diikuti dengan perbincangan dua hala yang memfokuskan kepada cabaran semasa serta keperluan mahasiswa dalam aspek pembangunan sahsiah.
Pelbagai cadangan turut dikemukakan termasuk pelaksanaan program pembangunan kendiri, aktiviti berteraskan nilai murni serta inisiatif yang mampu memperkukuh sahsiah mahasiswa secara menyeluruh.
Kunjungan ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan kerjasama antara MPP UPSI dan SPS dalam usaha melahirkan mahasiswa yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah.

