Oleh Aminuddin Al-Hafiz
TANJONG MALIM, 20 Disember 2025 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus komited dalam melahirkan barisan pemimpin mahasiswa yang berdaya saing, berwawasan serta berjiwa inklusif melalui penglibatan aktif dalam program kepimpinan dan kesedaran sosial di peringkat kebangsaan.
Sehubungan itu, UPSI telah menghantar wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk menyertai program Disability Equality Training and Inclusive Leadership (DETAIL) yang berlangsung pada 20 Disember 2025 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Program ini menghimpunkan pemimpin pelajar daripada pelbagai latar belakang bagi meningkatkan kesedaran terhadap isu ketidakupayaan serta memperkukuh amalan kepimpinan inklusif dalam kalangan mahasiswa.
Penyertaan ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman berkaitan konsep kesaksamaan bagi golongan orang kurang upaya (OKU), memupuk nilai empati serta memberi pendedahan kepada amalan kepimpinan inklusif.
Selain itu, ia turut membina jaringan kerjasama antara pemimpin pelajar dan organisasi yang memperjuangkan hak serta kebajikan golongan OKU.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman, kepimpinan mahasiswa perlu disulami dengan nilai empati dan kepekaan sosial terhadap golongan yang memerlukan.
Beliau menyatakan bahawa program seperti DETAIL merupakan platform penting dalam membentuk pemimpin yang inklusif serta mampu memahami keperluan masyarakat yang pelbagai.



Sepanjang program, para peserta telah mengikuti pelbagai aktiviti seperti sesi ceramah, latihan interaktif, simulasi serta perbincangan kumpulan yang memberi pengalaman langsung dalam memahami cabaran golongan OKU. Antara pengisian menarik termasuk simulasi penggunaan kerusi roda dan teknik membantu individu kurang upaya.
Secara keseluruhannya, penyertaan ini membuktikan komitmen UPSI dalam melahirkan pemimpin mahasiswa yang bukan sahaja berdaya saing, malah mempunyai kesedaran sosial yang tinggi serta bersifat inklusif.

