Dr. Mohd Fauzi bin Harun (ditengah) dalam sesi gambar kenang-kenangan bersama wakil MPP Fakulti serta Persatuan Pelajar dibawah FSKIKDr. Mohd Fauzi bin Harun (ditengah) dalam sesi gambar kenang-kenangan bersama wakil MPP Fakulti serta Persatuan Pelajar dibawah FSKIK

oleh Nur Amirah Amni Abdul Malik

TANJONG MALIM, 17 Mei 2026 – Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Bengkel Libat Urus Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (TDHEPA) bersama persatuan pelajar fakulti tersebut dalam usaha memperkukuh tadbir urus, meningkatkan sinergi kepimpinan mahasiswa serta memperkasa pengurusan organisasi pelajar.

Program yang berlangsung di Bilik Seminar Aras 2, Pusat Pelajar KSAS, UPSI itu menghimpunkan barisan kepimpinan persatuan pelajar FSKIK termasuk Persatuan Seni Visual (PERSENI), Persatuan Integrasi Media (PIM), Kelab Reka Bentuk Warisan (KEREBEWA) serta Rakan@ArtTrade.

Menurut penganjur, bengkel berkenaan merupakan satu inisiatif strategik fakulti dalam menyelaraskan gerak kerja persatuan pelajar di samping memperkukuh komunikasi dua hala antara pihak pengurusan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) dan kepimpinan mahasiswa.

Taklimat Libat Urus TDHEPA FSKIK oleh Dr. Mohd Fauzi bin Harun
Taklimat pitching bagi permohonan dana aktiviti oleh Nurfatini Izzati Binti Shahanand
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FSKIK berbincang dengan YDP setiap persatuan tentang program-program yang mereka ingin laksanakan.

Sepanjang program, peserta turut didedahkan kepada sesi perkongsian berkaitan pengurusan organisasi, tatakelola aktiviti serta kaedah penyediaan kertas kerja dan pitching cadangan program yang lebih sistematik dan berimpak tinggi.

Slot perkongsian turut disampaikan oleh wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, Nurfatini Izzati binti Shahanand yang memberi pendedahan mengenai kaedah pitching serta tatacara permohonan dana universiti. Perkongsian itu memberi penekanan kepada aspek penyediaan kertas kerja yang lebih berstruktur bagi meningkatkan kebolehjayaan permohonan dana persatuan.

Penganjuran bengkel ini turut disokong oleh komitmen Jawatankuasa Pelaksana dan kepimpinan persatuan pelajar FSKIK yang bertindak sebagai penggerak utama program, meliputi aspek pengurusan protokol, teknikal serta pelaksanaan sesi perbincangan.

Sementara itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni FSKIK, Dr. Mohd Fauzi bin Harun berkata, bengkel tersebut menjadi platform penting dalam memperkukuh keupayaan kepimpinan pelajar serta meningkatkan keberkesanan pengurusan organisasi di peringkat fakulti.

“Bengkel ini memberi penekanan kepada pengurusan organisasi, tatakelola kewangan serta pendedahan kepada kaedah pitching kertas kerja bagi meningkatkan kecekapan kepimpinan pelajar,” katanya dalam sesi amanat program.

Beliau turut menyarankan agar persatuan pelajar beralih kepada penganjuran program berskala lebih besar dan berimpak tinggi yang selari dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) HEPA serta matlamat pembangunan mampan, khususnya SDG 8 iaitu Pekerjaan yang Layak dan Pertumbuhan Ekonomi.

“Setiap perancangan perlu selari dengan KPI HEPA dan berteraskan elemen SDG bagi memastikan graduan yang dilahirkan lebih kompetitif, berkemahiran dan bersedia memenuhi keperluan industri,” katanya.

Tambah beliau, mahasiswa juga perlu diperkasakan sebagai pemimpin yang berintegriti, berdaya saing serta mampu menterjemahkan ilmu kepada tindakan yang memberi manfaat kepada komuniti.

Program berkenaan turut menjadi wadah dalam memperkukuh hubungan strategik antara kepimpinan persatuan pelajar FSKIK dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), selain menyelaras komunikasi bersama pihak pengurusan fakulti bagi melahirkan mahasiswa yang holistik dan celik tadbir urus.

Secara keseluruhan, penganjuran Bengkel Libat Urus TDHEPA FSKIK bersama Persatuan Pelajar 2026 itu dilihat sebagai langkah berterusan UPSI dalam memperkasa pembangunan kepimpinan mahasiswa serta memperkukuh ekosistem pengurusan organisasi pelajar di peringkat fakulti.