Oleh Aminuddin Al-Hafiz
TANJONG MALIM, 30 Disember 2025 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus komited dalam melahirkan barisan pemimpin mahasiswa yang berdaya saing, berwawasan serta berketerampilan melalui pelaksanaan program pembangunan kepimpinan di peringkat universiti.
Selaras dengan aspirasi tersebut, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI telah menganjurkan program Pencarian Sekretariat Majlis Perwakilan Pelajar Sidang 2025/2026 yang berlangsung pada 21 hingga 30 Disember 2025.
Program ini bertujuan untuk mengenal pasti serta melantik barisan sekretariat baharu sebagai pelapis kepimpinan mahasiswa yang mampu menyokong gerak kerja MPP secara efektif dan sistematik.
Penganjuran program ini memberi fokus kepada usaha mengenal pasti mahasiswa berpotensi, melahirkan barisan kepimpinan yang berkualiti, serta memberi pendedahan kepada pengurusan organisasi dan pelaksanaan program universiti.
Program pencarian sekretariat ini merupakan satu inisiatif penting dalam memastikan kesinambungan kepimpinan mahasiswa yang berkualiti di UPSI. Mahasiswa yang terpilih bukan sahaja menjadi tulang belakang kepada gerak kerja MPP, malah berperanan sebagai agen penggerak dalam memperjuangkan kebajikan dan suara pelajar.



Sepanjang pelaksanaan program, para peserta telah melalui beberapa proses utama seperti sesi temuduga, penilaian serta saringan yang dijalankan secara berperingkat. Program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk menunjukkan potensi diri dari segi kepimpinan, komunikasi serta keupayaan mengendalikan tugasan organisasi.
Selain itu, proses pemilihan ini turut memberi pendedahan awal kepada peserta mengenai peranan dan tanggungjawab sebagai sekretariat MPP dalam memastikan kelancaran program serta pengurusan organisasi pelajar di universiti.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dalam usaha melahirkan barisan pelapis kepimpinan mahasiswa yang berkualiti dan berdaya saing.

