Sesi Penyerahan Watikah Pelantikan Selaku Profesor Adjung oleh Prof. Dr Halus (Direktor Pasca SIswazah)Sesi Penyerahan Watikah Pelantikan Selaku Profesor Adjung oleh Prof. Dr Halus (Direktor Pasca SIswazah)

oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Masnan

Aceh, 4 April 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh jaringan akademik antarabangsa menerusi pelaksanaan program akademik bersama Universitas Almuslim (Umuslim), Indonesia, sebagai susulan kepada Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 14 Januari lepas.

Program anjuran Program Pascasarjana Umuslim itu bertujuan mempertingkat kualiti graduan dan tenaga pengajar melalui pendedahan kepada perspektif pendidikan global, selaras dengan peranan UPSI sebagai peneraju dalam bidang pendidikan.

Kemuncak program berkenaan menyaksikan pelantikan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Pembangunan Manusia UPSI, Prof Madya Dr Abdul Halim Masnan sebagai Profesor Adjung di institusi berkenaan.

Pelantikan itu dibuat susulan jemputan rasmi sebagai narasumber bertarikh 25 Mac lepas dan dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kepakaran beliau dalam bidang pembangunan manusia serta pedagogi pendidikan.

Sebagai Profesor Adjung, beliau akan berperanan membimbing mahasiswa pascasarjana selain menyumbang kepada pembangunan kurikulum di Universitas Almuslim.

Dalam pada itu, satu sesi Kuliah Tamu Internasional turut diadakan di Aula Creative Centre MA Jangka, Universitas Almuslim, yang dihadiri mahasiswa pascasarjana, pensyarah dan pengamal pendidikan di wilayah Bireuen.

Kuliah bertemakan “Penguatan Kompetensi Pendidik Profesional Berkelanjutan dalam Implementasi Kurikulum yang Adaptif” itu memberi penekanan kepada keperluan pendidik masa kini untuk memiliki daya tahan serta fleksibiliti tinggi dalam mendepani perubahan landskap pendidikan global.

Dr Abdul Halim dalam pembentangannya berkata kurikulum yang adaptif amat penting bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran kekal relevan dengan keperluan industri serta cabaran masa hadapan, khususnya dalam era pascapandemik dan transformasi digital.

Beliau berkata antara aspek utama yang perlu diberi perhatian ialah pembangunan profesional berterusan dalam kalangan guru, inovasi kurikulum serta pengukuhan kolaborasi penyelidikan antara institusi.

“Pendekatan ini mampu melahirkan pendidik yang bukan sahaja mahir dalam bidang masing-masing, tetapi juga kompeten dalam mengurus perubahan kurikulum secara berkesan,” katanya.

Penyampaian Ucaptama di hadapan para pelajar Pasca Siswazah
Bersama para pelajar Sarjana Pendidikan Universitas Almuslim
Sesi Pelantikan Aktiviti Profesor Adjung di Universitas Almuslim oleh Penyelaras Pasca Siswazah

Program itu dilihat sebagai pemangkin kepada pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi.

UPSI dalam kenyataan memaklumkan komitmen berterusan universiti itu untuk memperluas kerjasama strategik di peringkat antarabangsa melalui pertukaran ilmu, penyelidikan berimpak tinggi serta penerbitan ilmiah bersama.