Oleh: Noor Iffa Zulaika Mohd Azahar

Tanjong Malim, Perak, 19 April 2026 – Program Xplore Astrelix: “Every Station, A New Challenge” telah berjaya mencipta satu pengalaman yang bukan sahaja menguji fizikal malah mengukuhkan hubungan dalam kalangan penghuni perempuan Kolej Khar yang dianjurkan oleh Blok Kediaman 1, Kolej Harun Aminurrashid, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dimana program ini melibatkan penyertaan penghuni perempuan sahajan.

Program ini dijalankan bertujuan untuk membina hubungan dalam kalangan peserta agar dapat mewujudkan suasana yang harmoni, mesra serta hormat-menghormati antara satu sama lain.

Program ini dimulakan dengan ketibaan Felo Blok Kediaman 1 untuk merasmikan program Xplore Astrelix. Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan pengacara, bacaan doa serta ucapan daripada Ketua Blok dan Felo Blok Kediaman 1.

Kata-kata semangat yang disampaikan jelas membakar motivasi peserta untuk melibatkan diri secara aktif dalam setiap aktiviti yang dianjurkan di bawah Kolej Harun Aminurrashid.

Sesi seterusnya adalah sesi senamrobik yang melibatkan penyertaan penghuni perempuan bagi tujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan kecergasan fizikal serta mengurangkan risiko kecederaan semasa aktiviti dijalankan.

Sesi pemanasan badan ini turut berjaya mencetuskan suasana ceria dan bertenaga. Gelak tawa dan pergerakan yang diikuti oleh para peserta semasa aktiviti senamrobik dijalankan telah membuktikan bahawa program ini bukan sekadar pertandingan tetapi salah satu medium untuk merapatkan jurang antara peserta yang datang daripada latar belakang berbeza.

Kemuncak program bermula apabila aktiviti Xplore Astrelix dimulakan pada pukul 9.00 pagi. Setiap stesen menawarkan cabaran unik yang memerlukan kerjasama, komunikasi dan strategi berkumpulan.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah Silang Kata, Tipu atau Rasa, Yes or No, Uji Minda dan Imbangan, Isi Air di Botol, Aksi Tanpa Suara dan Random TikToks. Aktiviti tersebut bukan sahaja menceriakan suasana malah memberi ruang kepada peserta untuk mengekspresikan diri dan mengeratkan lagi hubungan dalam kumpulan.

Melalui setiap cabaran ini jelas kelihatan semangat muafakat berjaya dipupuk dalam kalangan peserta. Mereka saling membantu, memberi sokongan dan bersama-sama mengharungi setiap halangan. Walaupun wujud persaingan antara kumpulan namun nilai kerjasama dan semangat kesukanan tetap menjadi keutamaan.

Program diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah, sesi fotografi dan pengisian maklum balas daripada peserta. Senyuman dan kepuasan yang terpancar jelas  membuktikan kejayaan program ini dalam mencapai objektif.

Kesimpulannya, program ini bukan sahaja berjaya mencungkil potensi diri peserta malah membina hubungan yang lebih erat dalam kalangan penghuni Kolej Khar. Peribahasa “muafakat membawa berkat” jelas terbukti apabila setiap individu memainkan peranan dalam memastikan kejayaan bersama. Program seperti ini wajar diteruskan bagi membentuk komuniti kolej yang harmoni, aktif dan bersatu padu.