oleh: Nursuziani Abdullah

GERIK, 19 April 2026 – Program BELANTARA: “Bersama Lestari Alam” yang berlangsung di Lebuhraya Timur-Barat, Batu 11, Gerik, Perak, berjaya menarik perhatian komuniti setempat dan warga universiti melalui inisiatif pemuliharaan alam sekitar yang unik dan berinovasi. Program ini merupakan langkah proaktif dalam menangani perubahan iklim melalui usaha memelihara ekosistem daratan.

Program yang dianjurkan oleh Exco Kesukarelawanan Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) sesi 2025/2026 ini membawa tema kelestarian alam sekitar bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mahasiswa dan masyarakat awam terhadap kepentingan pemeliharaan hutan.

Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan penghayatan terhadap biodiversiti selaras dengan agenda kemampanan MADANI. Selain itu, ia juga diadakan untuk mengukuhkan daya tahan komuniti terhadap perubahan persekitaran serta membina jaringan kerjasama yang inklusif antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Meneroka khazanah alam di UMK-TraCe, peserta didedahkan dengan kepelbagaian ekosistem hutan rimba
Peserta program BELANTARA melakukan jungle trekking di kawasan UMK-TRaCe
Demonstrasi oleh pihak UMK-TRaCe dalam memasang Insect Light Trap

Program dimulakan pada hari pertama dengan sesi penerokaan pelbagai jenis pokok hutan rimba yang dikendalikan oleh UMK Tropical Rainforest Research Centre (UMK-TRaCe). Sesi ini memberi peluang kepada para peserta untuk mengenali spesies hutan hujan tropika dengan lebih mendalam sebelum diteruskan dengan aktiviti slot malam pada hari pertama. Dalam slot tersebut, para peserta didedahkan dengan teknik membuat perangkap serangga atau dikenali sebagai “Insect Light Trap” sebagai salah satu kaedah kajian ekologi untuk mengenal pasti spesies fauna yang menghuni kawasan tersebut. Aktiviti hands-on ini bukan sahaja memberikan pengalaman baharu, malah berjaya mencungkil minat mahasiswa terhadap kepentingan setiap komponen dalam ekosistem hutan yang perlu dilindungi.

Kemuncak program BELANTARA pada hari kedua adalah aktiviti penanaman 300 anak pokok termasuklah 100 anak pokok Merbau, 100 anak pokok Merawan dan 100 anak pokok Meranti Temak Nipis secara berperingkat. Keunikan yang menjadi tarikan utama program ini ialah pelancaran laman web khas yang memuatkan pangkalan data maklumat ekologi serta fungsi alam sekitar bagi setiap spesies pokok yang ditanam. Melalui inisiatif ini, masyarakat boleh mengakses perincian saintifik dan sumbangan setiap pohon terhadap ekosistem secara interaktif, sekali gus menjadikan projek ini sebagai arkib alam sekitar digital yang boleh dirujuk secara meluas.  

Demonstrasi cara penanaman pokok oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak kepada peserta BELANTARA
Peserta Belantara sedang giat melaksanakan aktiviti penanaman anak pokok
Peserta program BELANTARA bersama anak pokok Merbau yang sedia untuk ditanam.

Bukan itu sahaja, program ini sedikit sebanyak menggilap kemahiran mahasiswa melalui pengalaman secara langsung dalam mengendalikan projek penyelamatan alam sekitar yang mencabar namun memberi impak besar kepada generasi akan datang.

Selain itu, Dr. Muhammad Ridhwan Bin Sarifin, Felo Penasihat Program BELANTARA, menyatakan penghargaan yang tidak terhingga kepada barisan rakan strategik yang menjadi tulang belakang kejayaan program ini. Antara agensi yang terlibat secara langsung termasuklah Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Persatuan Aktivis Sahabat Alam Perak (KUASA), Universiti Malaya Green Community (UM), dan Universiti Malaysia Kelantan Kampus Jeli (UMK).

Beliau turut menghargai sumbangan kepakaran teknikal daripada Persatuan Kejuruteraan Perisian UPSI serta sokongan logistik daripada pihak UMK Tropical Rainforest Research Centre (UMK-TRaCe) yang membolehkan pemetaan digital biodiversiti dilakukan dengan lancar.

“Semoga program ini dapat menyumbang kepada agenda kelestarian nasional yang disokong oleh KPT dengan melibatkan mahasiswa dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar di luar kampus, sekali gus memperkukuh budaya kesukarelawanan hijau dan pembelajaran berasaskan pengalaman.” ujar beliau.

Sesi fotografi bersama sukarelawan Universiti Malaya (UM)
Gambar peserta dan rakan kolaborasi di tapak penanaman pokok
Sesi bergambar bersama semua rakan kolaborasi program

Program yang dijalankan selama dua hari ini mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memupuk budaya kesukarelawanan hijau yang inklusif. Secara keseluruhannya, BELANTARA berjaya mencapai matlamatnya dalam mewujudkan pangkalan data digital yang boleh diakses sebagai rujukan ekologi masa hadapan.

Diharapkan program berbentuk konservasi dan teknologi hijau seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan ke peringkat yang lebih tinggi agar menjadi pemangkin serta menyuntik semangat mahasiswa IPT serta masyarakat secara berterusan. Pendekatan interaktif ini diharapkan dapat membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai jiwa lestari yang tinggi dalam diri mereka sendiri.

Ucapan perasmian oleh Felo Penasihat bagi mengakhiri program
Sesi penyampaian sijil penghargaan kepada rakan kolaborasi
Barisan jawatankuasa pelaksana dan peserta program BELANTARA.

Program berakhir sekitar jam 2 petang disusuli dengan sesi fotografi dan majlis penutup secara ringkas bersama semua barisan ahli jawatankuasa pelaksana dan rakan kolaborasi yang hadir.