Sesi fotografi bersama peserta programSesi fotografi bersama peserta program

Oleh: Fazrinatasyah Faizal

Tanjong Malim, 22 April 2026 – Program LANGKARA: Selangkah Wirama tampil sebagai inisiatif dinamik yang menggabungkan elemen larian santai dan zumba dalam satu platform yang menyegarkan. Penganjuran program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kecergasan, malah menjadi medium efektif dalam membudayakan gaya hidup sihat secara berterusan dalam kalangan mahasiswa.

Program ini merupakan anjuran Exco Inisiatif Sukan, Rekreasi dan Kecergasan, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar sidang 2025/2026, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Ia telah menghimpunkan penyertaan mahasiswa dari UPSI, Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) dan Universitas Bina Darma (UBD) dalam satu program yang berlangsung di sekitar Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) serta Dewan Kolej Ungku Omar.

Sesi pemanasan badan sebelum larian
Larian di sekitar kampus bermula
Delegasi dari Indonesia menyertai larian

Antara aktiviti  yang dijalankan dalam program adalah larian yang dijalankan di sekitar Universiti Pendidikan Sultan Idris dan zumba selama dua jam yang dijalankan di Kolej Ungku Omar. 

Penglibatan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang institusi telah mewujudkan suasana interaksi yang harmoni serta memperkukuh hubungan antara universiti di peringkat antarabangsa. Program ini juga memberi ruang kepada peserta untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat, di samping membantu mengurangkan tekanan melalui penglibatan dalam aktiviti fizikal yang menyeronokkan.

ChM. Dr. Mohamad Saufi bin Rosmi, Pengerusi Majlis Felo Kolej-Kolej Kediaman, menegaskan bahawa pembelajaran di universiti tidak terhad kepada aspek akademik semata-mata, sebaliknya merangkumi pembangunan menyeluruh termasuk pengurusan masa, penglibatan dalam program dan penjagaan kesihatan diri. Menurut beliau, penyertaan dalam program seperti LANGKARA mampu membantu mahasiswa mencapai keseimbangan antara kecemerlangan intelek dan kesejahteraan fizikal, ujar beliau dalam ucapan perasmian.

Peserta larian menerima medal
Sesi zumba di dewan KUO

Sambutan yang amat meriah daripada para peserta membuktikan bahawa program seumpama ini relevan dan memberi impak positif kepada warga kampus. Kejayaan penganjuran ini bukan sahaja diukur melalui penyertaan aktif, malah melalui semangat kebersamaan dan gaya hidup sihat yang berjaya dipupuk.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sekadar program kecergasan, tetapi menjadi simbol usaha berterusan dalam melahirkan mahasiswa/i yang seimbang dari segi intelek, emosi dan fizikal. Diharapkan agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform yang konsisten dalam memupuk budaya hidup sihat dalam komuniti kampus.

Penyampaian hadiah peserta zumba terbaik lelaki
Penyampaian hadiah peserta zumba terbaik wanita