Oleh: Kelly Ng
TANJONG MALIM, 11 April 2026 – Program Manifesto: Pentas Gema Mahasiswa yang berlangsung di Pentas Utama Kolej Aminuddin Baki, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya serta menerima sambutan menggalakkan daripada mahasiswa.
Program ini dianjurkan bersempena Off-Campus Festival 2026 di bawah Exco Pengucapan Awam, Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus, UPSI. Sekali gus,telah menjadi platform terbaik kepada mahasiswa untuk menonjolkan bakat dalam pengucapan awam di samping mengasah kemahiran komunikasi dan kepimpinan.
Sepanjang tempoh program berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang, pelbagai pengisian menarik telah diadakan. Antara aktiviti utama ialah sesi pembentangan manifesto oleh para peserta yang menyaksikan kehebatan mereka dalam mempersembahkan idea kreatif, kritis dan berani dalam menyuarakan pandangan masing-masing di hadapan penonton.
Menurut Pengarah Program, Aziq Aiman, penganjuran program ini bertujuan untuk menyediakan platform kepada mahasiswa bagi mengasah kemahiran komunikasi serta meningkatkan keyakinan diri dalam pengucapan awam.
Selain itu, program ini turut menawarkan hadiah terkumpul bernilai RM500.00 kepada para pemenang. Penyampaian hadiah telah berlangsung dengan meriah kepada semua peserta dan menjadi simbol penghargaan kepada usaha serta komitmen peserta yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang pertandingan.


Felo Penasihat, Unit Kediaman Luar Kampus, UPSI, Dr. Mohd Syariefudin turut menyokong dengan menekankan bahawa penglibatan aktif mahasiswa dalam program sebegini mampu melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan memiliki kemahiran insaniah yang tinggi. Penganjuran program seperti ini dilihat mampu memperkasa kemahiran insaniah mahasiswa, khususnya dalam aspek komunikasi, kepimpinan dan keyakinan diri. Usaha ini juga selari dengan hasrat universiti dalam melahirkan graduan holistik dan seimbang.
Program Manifesto: Pentas Gema Mahasiswa telah berjaya mencapai matlamatnya dalam memperkasa kemahiran komunikasi, kepimpinan serta keyakinan diri mahasiswa. Kejayaan program ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform berterusan dalam pembangunan potensi pelajar UPSI.
