Oleh: Enrica Joanne Juprin
Tanjong Malim, 9 April 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris melalui Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) telah menganjurkan Pertandingan Nasyid: Echoes of Imaan dengan jayanya. Program yang berlangsung dengan meriah di Tapak Pesta KAB, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) ini telah dianjurkan bersempena berlangsungnya Off-Campus Festival 2026 dari 9 hingga 12 April lalu.
Pertandingan yang bermula seawal jam 9:00 pagi itu telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan sebanyak enam kumpulan. Kumpulan nasyid ini terdiri daripada murid-murid yang mewakili pelbagai Sekolah Rendah Agama (SRA) sekitar daerah Hulu Selangor iaitu SRA Felda Sungai Buaya, KAFAI Ar-Rahman Kg. Serigala, SRA Hulu Bernam dan SRA Bandar Utama Batang Kali.
Pertandingan ini juga telah diserikan dengan ucapan perasmian yang disempurnakan oleh Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK), Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani, sebelum debaran sesi pengumuman keputusan dan penyampaian hadiah bermula. Dalam ucapan tersebut, beliau menegaskan bahawa pentingnya penglibatan aktiviti luar bilik darjah sebegini terhadap pembentukan karakter individu. Menurutnya lagi, penglibatan ini juga sangat membantu apabila ingin melanjutkan pengajian di universiti kelak.



Berdasarkan keputusan para juri, kumpulan Soutul Rahman dari Sekolah Rendah Agama (SRA) Bandar Baru Batang Kali dinobatkan sebagai johan, diikuti dengan kumpulan Nawa al-Bariq merangkul naib johan dan Nawa al-Shaza di tempat ketiga. Kumpulan yang menduduki tempat tiga teratas memperoleh piala iringan, sijil dan hadiah dalam bentuk barangan seperti mushaf al-Quran, sejadah dan buku-buku keagamaan.
Menurut pengarah program, Saudara Muhammad Alif Khuzaifi, penganjuran Pertandingan Nasyid: Echoes of Imaan dianjurkan untuk memperkasa seni nasyid sebagai medium dakwah dan pembinaan sahsiah diri murid. Program ini juga bertujuan melahirkan murid seimbang dari aspek intelek, rohani, emosi dan sosial. Beliau turut menyelitkan harapan agar seni nasyid ini dapat dikembangkan lagi oleh pelapis-pelapis muda seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
Bagi peserta, Muhammad Abqari, 11 pertandingan ini memberi peluang kepada beliau untuk menyerlahkan potensi diri dalam bidang kesenian Islam serta menjalinkan hubungan persahabatan dengan murid-murid dari sekolah lain. Beliau berharap agar pertandingan sebegini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang. Selain itu, menurut Nur Qaisara, 12 pertandingan ini telah membuka peluang kepada diri beliau untuk menyertai pertandingan di luar penganjuran sekolah. Beliau sangat berpuas hati dengan pengurusan pertandinga nasyid ini dan berharap agar pertandingan ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan peserta dari negeri lain.
Secara keseluruhan, pertandingan ini menerima sambutan yang memberangsangkan daripada sekolah-sekolah yang terlibat dan menjadi medium untuk memartabatkan seni hiburan berunsurkan dakwah. Pertandingan Nasyid: Echoes of Imaan merupakan satu usaha yang jitu dalam mencungkil bakat-bakat anak muda dalam alunan nasyid yang mengalami evolusi seiring dengan arus pemodenan.

