Oleh: Nathalia Anak Charlie dan Aveana Sephia Binti Arifsi
TANJONG MALIM, 25 April 2026 – Program DATAVERSE 2026: STEM Digital Analytics Workshop anjuran Exco STEM, Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) UPSI telah berlangsung dengan jayanya. Program yang dijalankan secara dalam talian menerusi aplikasi Google Meet ini melibatkan penyertaan seramai 1,075 orang peserta daripada mahasiswa UPSI dan warga komuniti Muallim.
Tujuan program ini dijalankan adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang penggunaan alat visualisasi data dan pelaporan percuma daripada Google (Google Data Studio) untuk menukar data mentah kepada dashboard supaya menjadi data pelaporan interaktif yang mudah dibaca dan dikongsi. Program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kemahiran peserta dalam mengendalikan data, membina laporan dan memahami visualisasi data dengan lebih baik.


Program yang dijalankan ini bukan sekadar sesi penyampaian ceramah dan panduan pembinaan laporan semata-mata, malah turut melibatkan latihan secara ‘hands-on’ di mana penceramah menunjukkan demonstrasi secara langsung penggunaan Looker Studio, sekali gus membolehkan para peserta memahami langkah-langkah dengan lebih jelas dan praktikal.
Komunikasi secara dua hala yang digunakan oleh penceramah sepanjang program dijalankan menjadikan program ini lebih interaktif dan menyeronokkan, apabila para peserta dapat melibatkan diri secara aktif sepanjang program berlangsung. Hal ini dapat meningkatkan keberkesanan maklumat yang disampaikan dengan lebih mendalam kepada para peserta.
menggunakan Google Form, pengurusan dan analisis data dalam Google Sheets, visualisasi data menggunakan Looker Studio dan automasi sijil menggunakan Autocrat.
Pengarah program, Aveana Sephia Binti Arifsi menyatakan bahawa, “Program ini diharapkan mampu memberikan aspirasi dalam melahirkan komuniti yang bukan sahaja celik data, malah dapat memangkin kepada transformasi budaya kerja ke arah yang lebih inovatif dan efisien”. Sehubungan dengan itu, Pengetua UKLK, Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur di mana beliau menyatakan “Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan program ini. Diharapkan program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta dalam meningkatkan kemahiran pengurusan data”.


Secara keseluruhannya, program ini memberikan pendedahan yang menyeluruh kepada peserta dalam memahami Looker Studio bagi menghasilkan visualisasi data yang sistematik. Penceramah program, Encik Mohd Khairul Azrul dalam ucapannya berkata, “data yang baik perlu disampaikan dalam bentuk visual agar lebih mudah difahami oleh semua pihak serta membantu dalam menjimatkan masa menterjemah data-data yang kompleks kepada satu bentuk infografik ringkas tetapi padat.”
Melalui perkongsian yang bermakna ini peserta bukan sahaja dapat menambah ilmu pengetahuan baharu malah dapat menyediakan diri untuk berhadapan dengan dunia pekerjaan mencabar di masa akan datang yang melibatkan persaingan kompetensi kerja menerusi pengaplikasian kecerdasan pintar (AI) dalam penghasilan kerja yang berkualiti di organisasi.
