Ditulis oleh: Nurin Natasha Abdullah dan Nur Dini Muhammad Nakhaie
TERENGGANU, 23 MEI 2026 – Kesedaran terhadap kepentingan memelihara ekosistem dan populasi penyu yang kian terancam telah dizahirkan menerusi kejayaan Program Pesisir: “Program Edukasi dan Rehabilitasi Penyu” anjuran Exco Kesukarelawanan, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid.
Program intensif yang dijalankan selama dua hari 23 hingga 24 Mei 2026 ini telah menggembleng tenaga seramai lebih kurang 80 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Sea Turtle Research Unit (SEATRU) Universiti Malaysia Terengganu, PULIHARA Malaysia serta Geng Plastik Ija (GPI). Sepanjang program, para peserta menunjukkan komitmen luar biasa dan kerjasama erat bagi memastikan setiap aktiviti berjalan lancar.



Rentak kerja bagi program impak tinggi ini secara rasminya bermula pada sebelah petang 23 Mei 2026, bertempat di Pantai Tanjung Jara. Pemilihan lokasi ini adalah sangat signifikan memandangkan lokasi ini merupakan antara kawasan pendaratan utama penyu di pantai timur. Bersempena dengan sambutan Hari Penyu Sedunia, satu kolaborasi strategik yang cukup komprehensif telah dijalankan bersama para pakar penyelidik daripada Sea Turtle Research Unit (SEATRU) UMT, PULIHARA Malaysia, dan pertubuhan bukan kerajaan, Geng Plastik Ija (GPI). Setibanya para peserta di lokasi tersebut sekitar jam 4.00 petang, mereka terlebih dahulu diberikan taklimat keselamatan serta pengenalan ekosistem yang mendalam bagi memastikan gerak kerja berjalan dengan selamat dan berkesan sebelum fasa pembersihan pantai (beach clean-up) digerakkan secara berkumpulan.



Misi pembersihan yang dijalankan secara bersasar ini telah membuahkan hasil yang amat membanggakan apabila para peserta berjaya mengumpulkan sejumlah 629.04 kg sampah, yang bersamaan dengan 175 buah plastik sampah bersaiz besar. Majoriti sisa yang berjaya dikutip terdiri daripada sisa pepejal domestik, tali kapal terbiar, dan sisa plastik mikro yang menjadi ancaman paling besar kepada hidupan laut. Kejayaan operasi ini bukan sahaja berjaya memulihkan semula kebersihan estetika kawasan pendaratan penyu berkenaan, malah membuka mata dan memberi kesedaran yang mendalam kepada para mahasiswa mengenai impak buruk sisa plastik yang mampu bertahan ratusan tahun dan berisiko meracuni rantaian makanan dalam ekosistem marin secara jangka panjang.



Kemuncak kepada pengisian program ini berlaku pada hari terakhir, iaitu pada 24 Mei 2026, dimana para peserta telah bergerak menuju ke Wetland School of Setiu yang terletak di Kampung Mangkuk, Setiu seawal jam 6.30 pagi untuk sesi pengenalan biodiversiti bakau dan eksplorasi lanjut bersama SEATRU. Slot Mangrove Visits atau lawatan ke hutan bakau ini dirangka secara khusus bagi memberikan pendedahan akademik mengenai peranan kritikal hutan bakau yang sering kali diabaikan. Hutan bakau sebenarnya bertindak sebagai benteng semula jadi yang melindungi pesisir pantai daripada hakisan ombak besar dan tsunami, di samping berfungsi sebagai penapis semula jadi yang menyaring sisa mendapan serta pencemaran dari darat sebelum memasuki lautan luas, memastikan air laut kekal bersih dan sesuai untuk habitat hidupan marin. Lebih menarik lagi, para mahasiswa didedahkan dengan fakta penting bahawa hutan bakau merupakan kawasan perlindungan (nursery ground) yang amat kritikal bagi anak-anak penyu (tukik). Struktur akar pokok bakau yang berselirat menyediakan tempat persembunyian yang sangat selamat daripada pemangsa besar seperti burung dan ikan pemangsa, sekaligus meningkatkan kadar kemandirian anak penyu sebelum mereka bersedia untuk berenang ke laut lepas. Memahami kepentingan ekosistem bakau ini membantu para peserta melihat gambaran yang lebih besar bahawa usaha pemuliharaan penyu tidak boleh difokuskan kepada kawasan pantai semata-mata, sebaliknya memerlukan rantaian ekosistem bakau yang sihat dan terpelihara bagi menjamin kelangsungan hidup spesies ikonik ini daripada kepupusan.



Program berimpak tinggi ini secara rasminya berakhir pada jam 2.00 petang dengan pergerakan pulang para peserta pulang ke kampus UPSI. Secara keseluruhannya, program kolaboratif ini telah diterjemahkan sebagai satu kejayaan yang amat besar dalam mencapai objektif serampang dua matanya, iaitu melonjakkan kesedaran komuniti mahasiswa terhadap kepentingan pemuliharaan penyu serta memupuk rasa tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar. Selain daripada perolehan input ilmiah dan ilmu pengetahuan baharu yang tidak didapati di dalam bilik kuliah, program ini turut berjaya menggilap serta menguji kemahiran insaniah mahasiswa seperti kerja berpasukan dalam situasi mencabar, komunikasi berkesan yang merentas institusi, serta ciri-ciri kepimpinan proaktif dalam kalangan bakal graduan. Akhir kata, adalah menjadi harapan besar agar memori dan pengalaman bermakna yang diperoleh sepanjang dua hari ini akan menjadi pemangkin utama yang mencetuskan penglibatan yang lebih aktif, konsisten, dan berterusan dalam usaha memelihara khazanah alam semula jadi negara pada masa hadapan.
