ISKANDAR PUTERI, 1 Jun – Seramai 35 mahasiswa anak Johor dari Universiti Pendidikan
Sultan Idris (UPSI) telah menyertai program Meh Balik Kampus 2.0 dengan menaiki sebuah bas
khas yang disediakan secara percuma oleh Kerajaan Negeri Johor bagi membantu mereka
kembali ke kampus selepas cuti Aidiladha.
Penyertaan mahasiswa UPSI ini telah diselaraskan oleh Majlis Anak Johor (M@JOR) UPSI,
sekali gus memudahkan urusan perjalanan pelajar tanpa perlu menanggung kos pengangkutan
yang semakin meningkat.
Program yang berlangsung di TMIYC Iskandar Puteri ini merupakan antara inisiatif kebajikan
Kerajaan Negeri Johor di bawah agenda Maju Johor yang memberi fokus kepada
pembangunan modal insan dan kesejahteraan mahasiswa.

Bantuan pengangkutan percuma ini mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap keperluan pelajar, khususnya dalam mengurangkan beban kewangan keluarga serta memastikan mahasiswa dapat meneruskan pengajian dengan lebih selesa.
Melalui kerjasama antara kerajaan negeri, Gabungan Mahasiswa Anak Johor (GAJ) dan
pelbagai persatuan mahasiswa Johor, program ini turut memperkukuhkan hubungan antara
mahasiswa dan kerajaan dalam usaha melahirkan generasi muda yang berilmu, berdaya saing
serta mampu menjadi peneraju pembangunan negeri pada masa hadapan.
