Oleh: Siti Nurazmira Binti Abdullah  

TANJONG MALIM, 21 Jun – Pelajar kursus Drama dan Amali Seni Lakon (BSK3013) Kumpulan A, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya mementaskan drama Carpe Diem pada 21 Jun 2026 dari jam 8.00 malam hingga 11.00 malam di Bilik Kuliah 3, UPSI. Pementasan yang diadakan sebagai sebahagian daripada penilaian amali kursus tersebut berlangsung dengan penuh emosi dan penghayatan serta berjaya menarik kehadiran hampir 80-90 orang penonton yang terdiri daripada pensyarah, pelajar dan orang awam.

Pementasan ini dilaksanakan di bawah seliaan Dr. Amir selaku pensyarah kursus, manakala Saudara Nabil bertindak sebagai pengarah program. Seramai 74 orang kru produksi termasuk para pelakon telah terlibat secara langsung dalam menjayakan persembahan ini. Komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan oleh seluruh pasukan produksi telah membolehkan pementasan berlangsung dengan lancar serta mencapai objektif yang ditetapkan.

Drama Carpe Diem, yang membawa maksud “rebutlah hari ini”, mengetengahkan kisah yang berkait rapat dengan kehidupan pelajar, khususnya tentang kepentingan menghargai masa, membuat pilihan yang tepat dan memanfaatkan setiap peluang yang hadir dalam kehidupan. Melalui jalan cerita yang sarat dengan mesej kemanusiaan, nilai kehidupan dan pengorbanan, pementasan ini berjaya menyampaikan pengajaran yang mendalam kepada para penonton.

Kejayaan pementasan ini terserlah melalui lakonan yang mantap dan penuh penghayatan daripada para pelakon yang berjaya menghidupkan setiap watak dengan berkesan. Setiap konflik dan emosi yang dipersembahkan mampu membawa penonton menghayati perjalanan cerita serta mesej yang ingin disampaikan. Selain itu, penggunaan elemen pentas seperti prop, kostum, muzik latar dan pencahayaan turut membantu mengukuhkan jalan cerita serta mewujudkan suasana yang lebih realistik sepanjang persembahan berlangsung.

Di sebalik kejayaan yang dicapai, pelbagai usaha dan pengorbanan telah dicurahkan oleh seluruh warga produksi. Bermula daripada proses penulisan skrip, sesi latihan yang intensif, penyediaan set pentas, pengurusan teknikal serta promosi program, setiap individu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan persembahan berjalan dengan lancar. Semangat kerja berpasukan yang tinggi jelas dapat dilihat apabila setiap ahli produksi saling membantu dan memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang proses persiapan sehingga ke hari pementasan.

Menurut Saudara Nabil, kejayaan pementasan ini merupakan hasil kerjasama dan dedikasi seluruh ahli produksi yang sanggup meluangkan masa serta tenaga untuk menjalani latihan dan persiapan sepanjang semester. Beliau turut menyifatkan pengalaman mengendalikan pementasan ini sebagai satu proses pembelajaran yang berharga dalam membentuk kemahiran kepimpinan, komunikasi dan profesionalisme dalam kalangan pelajar.

Pementasan Carpe Diem bukan sahaja menjadi platform untuk menilai kemahiran pelajar dalam aspek seni lakon, malah turut memberi peluang kepada mereka untuk mengembangkan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, penyelesaian masalah, pengurusan masa dan kerja berpasukan. Pengalaman mengendalikan sebuah produksi secara langsung memberikan pendedahan yang berharga kepada pelajar mengenai realiti dunia seni persembahan yang memerlukan disiplin, kreativiti dan komitmen yang tinggi.

Secara keseluruhannya, pementasan Carpe Diem telah mencapai objektif yang ditetapkan dan berjaya meninggalkan kesan yang mendalam kepada para penonton. Kejayaan ini membuktikan bahawa bakat, kreativiti dan usaha yang digabungkan dengan semangat kerja berpasukan mampu menghasilkan sebuah persembahan yang berkualiti serta memberi impak positif kepada masyarakat kampus. Diharapkan program seumpama ini dapat terus dilaksanakan pada masa hadapan bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai kemahiran seni dan insaniah yang tinggi.