Sesi bergambar Jawatankuasa Pelaksana Program bersama Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan JAKIMSesi bergambar Jawatankuasa Pelaksana Program bersama Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan JAKIM

Disediakan oleh: Nurul Syazliyana binti Rosli, Noor Syifa’ binti Bahavudin & Profesor ChM. Dr. Azlan bin Kamari

KAMPUNG SELISEK, 20 Jun 2026 – Dalam usaha memperkukuh kesedaran komuniti terhadap kelestarian alam sekitar, pelajar semester 6 kursus SKU3053 Industri dan Isu Semasa dalam Kimia di bawah seliaan Profesor ChM. Dr. Azlan bin Kamari, Fakulti Sains dan Matematik, UPSI telah menganjurkan program SULAM RESOAP: From Waste to Worth – Turning Used Cooking Oil into Soap dengan kerjasama Program Satelit Khas Komuniti Rakyat MADANI Sempena Maal Hijrah 1448H di Dewan Serbaguna Kampung Selisek, Hulu Selangor, Selangor.

Penganjuran program SULAM tersebut telah mendapat kerjasama dan sokongan yang sangat baik dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Ketua Kampung Selisek. Kira-kira 600 orang penduduk daripada Kampung Selisik, Kampung Bahom, Kampung Sekolah, Kampung Masjid, Kampung Paya Lebar, Kampung Sungai Nilam dan Kampung Sungai Pagi telah hadir ke program tersebut. Objektif utama program SULAM ini adalah untuk memberi pendedahan kepada komuniti mengenai kaedah penghasilan sabun daripada minyak masak terpakai serta meningkatkan kesedaran terhadap amalan kitar semula dan kelestarian alam sekitar.

Sesi penyampaian
cenderahati
Demonstrasi pembuatan sabun
oleh pelajar UPSI
Sesi pembuatan sabun oleh
YB Senator

Program SULAM tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Dalam ucapan beliau, Yang Berhormat Senator menekankan kepentingan penglibatan komuniti dalam usaha kelestarian alam selaras dengan nilai MADANI. Di samping itu, beliau turut menyokong penganjuran program tersebut kerana bertepatan dengan aspirasi SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) seperti yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang program SULAM tersebut beliau percaya minat murid sekolah untuk meneroka bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dapat dipertingkatkan.

Selepas acara perasmian, Yang Berhormat Senator melawat reruai pameran produk sabun. Beliau berbesar hati untuk turut serta dalam sesi demonstrasi pembuatan sabun daripada minyak masak terpakai. Beliau mengambil peluang tersebut untuk beramah mesra bersama komuniti yang mengambil bahagian dalam  sesi pembuatan sabun.

Pertandingan mengukir
sabun
Pembuatan sabun oleh
penduduk kampung
Pertandingan mewarna
kanak – kanak

Pelbagai aktiviti turut dijalankan termasuk pertandingan mengukir sabun, kuiz sains, pertandingan mewarna serta cabutan bertuah yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk kampung. Aktiviti ini bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada pelajar UPSI, khususnya dalam meningkatkan teknik penyampaian ilmu pengetahuan kepada komuniti malah menanamkan semangat kekeluargaan kepada masyarakat.

Secara keseluruhannya, diharapkan program SULAM seumpama ini wajar diteruskan pada masa akan datang sebagai wadah berterusan dalam memberi pendedahan kepada komuniti tentang inovasi penghasilan sabun daripada minyak masak terpakai, di samping memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti. Ini juga adalah selaras dengan lima teras utama Jiwa UPSI, iaitu Jiwa Ketaqwaan, Jiwa Keinsanan, Jiwa Kekeluargaan, Jiwa Kecemerlangan dan Jiwa Pendidik.