Sesi fotografi berkumpulan bersama wakil akademik dan mahasiswa UPSI, Universitas Muhammadiyah Pontianak serta Universitas Mathla’ul Anwar Banten.Sesi fotografi berkumpulan bersama wakil akademik dan mahasiswa UPSI, Universitas Muhammadiyah Pontianak serta Universitas Mathla’ul Anwar Banten.

Oleh: Dr. Aisyah Mohamad Sharif dan Ummu Madihah Zulfah Abu Mansor

Tanjong Malim, 18 Ogos 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh jaringan akademik dan kerjasama antarabangsa menerusi penganjuran Forum Akademik: Isu dan Cabaran dalam Pendidikan STEM di Malaysia dan Indonesia yang berlangsung bersempena dengan sesi penutupan lawatan rasmi delegasi Universitas Muhammadiyah Pontianak (UMP) dan Universitas Mathla’ul Anwar Banten (UNMA), Indonesia ke UPSI.

Program tersebut menghimpunkan wakil akademik dan mahasiswa dari Malaysia dan Indonesia dalam usaha memperluas perkongsian pengetahuan serta pengalaman berkaitan perkembangan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di kedua-dua negara. Delegasi dari Indonesia melibatkan tiga pensyarah dan 20 mahasiswa dari UMP serta lima pensyarah dan empat mahasiswa dari UNMA, manakala wakil UPSI antaranya melibatkan Dr. Supriatno Salam dan Dr. Aisyah Mohamad Sharif.

Forum dimulakan dengan sesi pengenalan barisan pensyarah sebelum diteruskan dengan perkongsian daripada panel pertama, Dr. Aisyah Mohamad Sharif dari UPSI, yang membincangkan perkembangan serta pelaksanaan pendidikan STEM dalam konteks Malaysia.

Dalam perkongsian tersebut, beliau menekankan bahawa usaha memperkasakan STEM tidak seharusnya tertumpu kepada pelaksanaan program atau aktiviti secara bermusim semata-mata, sebaliknya memerlukan pembentukan budaya STEM yang kukuh dan berterusan dalam ekosistem pendidikan.

Sesi pertukaran cenderahati antara wakil delegasi Indonesia dan UPSI sempena penutupan lawatan rasmi.
Suasana Forum Akademik: Isu dan Cabaran dalam Pendidikan STEM di Malaysia dan Indonesia yang menghimpunkan wakil akademik dan mahasiswa dari Malaysia dan Indonesia

Forum diteruskan dengan perkongsian daripada Dr. Dedeh Kurniasih dari Universitas Muhammadiyah Pontianak yang mengetengahkan perspektif berkaitan pendidikan STEM di Indonesia. Perkongsian tersebut memberi peluang kepada peserta untuk memahami pendekatan, pengalaman serta cabaran yang dihadapi dalam usaha memperkembangkan STEM dalam konteks pendidikan di Indonesia.

Pertukaran pandangan antara kedua-dua panel turut membolehkan peserta melihat persamaan dan perbezaan cabaran pendidikan STEM yang dihadapi oleh Malaysia dan Indonesia, sekali gus membuka ruang kepada perkongsian pendekatan yang boleh dipertimbangkan dalam memperkukuh pelaksanaannya.

Sesi forum menjadi lebih interaktif menerusi sesi soal jawab bersama mahasiswa dan pensyarah atau dosen. Antara perkara yang dibangkitkan ialah isu serta cabaran dalam mengembangkan pendidikan STEM, khususnya berkaitan dana atau peruntukan, silibus yang semakin mencabar serta usaha menarik dan mengekalkan minat terhadap bidang STEM.

Menjawab persoalan berkaitan konteks Malaysia, Dr. Aisyah Mohamad Sharif turut berkongsi beberapa pendekatan yang boleh diteroka bagi memperluas penglibatan dalam STEM. Antaranya ialah memanfaatkan media sosial sebagai platform pertandingan dan perkongsian aktiviti STEM, sekali gus menjadikan bidang tersebut lebih dekat dan menarik kepada generasi muda. Perbincangan turut menyentuh kepentingan memperkukuh laluan pendidikan berasaskan STEM di sekolah termasuk usaha memastikan bidang sains tulen terus diberikan perhatian bagi menyediakan asas yang kukuh kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan STEM.

Manakala menjawab persoalan konteks dari Indonesia pula, Dr Dedeh Kurniasih menerangkan berkaitan cabaran pendidikan semasa yang semakin dipengaruhi oleh perkembangan teknologi, khususnya penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan mahasiswa. Penggunaan AI tanpa bimbingan yang sewajarnya juga dibincangkan dari sudut kemungkinan memberi kesan terhadap keupayaan mahasiswa untuk membina kemahiran berfikir secara kritis dan menyelesaikan masalah secara kendiri. Pada masa yang sama, isu berkaitan prasarana yang kurang mencukupi turut dikenal pasti sebagai antara cabaran dalam usaha memperluas dan memperkukuh pelaksanaan pendidikan STEM di Indonesia. Kemudahan, sumber pembelajaran serta sokongan teknologi yang sesuai merupakan antara aspek penting bagi memastikan pengalaman pembelajaran STEM dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Perkongsian antara ahli akademik dan mahasiswa dari kedua-dua negara menjadikan forum tersebut bukan sekadar ruang membincangkan cabaran, malah medan untuk berkongsi pengalaman dan mengenal pasti pendekatan yang boleh dilaksanakan bagi memperkasa pendidikan STEM secara bersama.

Penganjuran forum ini turut mencerminkan komitmen UPSI dan Universitas Muhammadiyah Pontianak dalam memperluas jaringan akademik antarabangsa serta menyediakan ruang kepada warga akademik dan mahasiswa untuk bertukar pengetahuan, pengalaman dan perspektif berkaitan perkembangan pendidikan semasa. Kerjasama seperti ini berpotensi membuka lebih banyak ruang kepada pelaksanaan aktiviti bersama pada masa hadapan termasuk penyelidikan, penerbitan akademik, pertukaran kepakaran, mobiliti mahasiswa dan staf serta penganjuran program berkaitan pendidikan STEM.

Program kemudiannya diteruskan dengan sesi penutupan lawatan rasmi delegasi Universitas Muhammadiyah Pontianak ke UPSI, sekali gus menandakan berakhirnya rangkaian aktiviti yang dilaksanakan sepanjang lawatan tersebut dengan pertukaran cenderahati yang bukan sahaja menjadi simbol penghargaan, malah mencerminkan komitmen bersama untuk terus memperkukuh hubungan akademik antara Malaysia dan Indonesia menerusi pelbagai bentuk kerjasama pada masa hadapan.

Secara keseluruhannya, forum dan lawatan rasmi tersebut menjadi platform penting dalam mempererat hubungan antara institusi pendidikan Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam usaha memperkukuh pendidikan STEM.

Hubungan strategik yang terjalin diharapkan dapat diteruskan melalui lebih banyak program berimpak tinggi yang bukan sahaja memberi manfaat kepada warga kedua-dua institusi, malah menyumbang kepada pembangunan pendidikan STEM yang lebih dinamik, relevan dan berdaya saing di peringkat serantau.