Oleh: Muhd Ibrahim Muhamad Damanhuri
TANJONG MALIM, 20 Ogos 2026 – Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh jaringan akademik antarabangsa menerusi penglibatan dalam International Webinar 2026 – Series 1 anjuran Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP), Universitas Mulawarman, Indonesia pada 20 Ogos 2026.
Bertemakan “Empowering Learning in the Era of Technology”, webinar tersebut menjadi platform perkongsian ilmu berkaitan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran serta menghimpunkan ahli akademik, pendidik dan mahasiswa daripada pelbagai institusi. Program berlangsung secara dalam talian melalui Zoom dan saluran YouTube FKIP Universitas Mulawarman.
Majlis turut diserikan dengan ucapan alu-aluan oleh Dekan Fakulti Sains dan Matematik, UPSI, Profesor Dr. Mohd Faizal Nizam Lee bin Abdullah, serta Timbalan Dekan FKIP, Universitas Mulawarman, Profesor Dr. Mukhamad Nurhadi.
Kehadiran kepimpinan daripada kedua-dua institusi ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh jaringan akademik serantau serta memperluas kerjasama dalam bidang pendidikan, inovasi dan teknologi.



Webinar berkenaan menghimpunkan tiga panel jemputan, termasuk Dr. Muhd Ibrahim bin Muhamad Damanhuri yang mewakili Fakulti Sains dan Matematik serta STEM Nurturing Centre, UPSI, bersama dua ahli akademik Universitas Mulawarman dalam bidang Pendidikan Fizik dan Pendidikan Matematik.
Menerusi perkongsian bertajuk “Rolling into STEM: Empowering Students through Gamification and Augmented Reality”, sesi wakil UPSI mengetengahkan penggunaan gamifikasi, pembelajaran phygital dan teknologi Augmented Reality (AR) sebagai pendekatan untuk menjadikan pembelajaran STEM lebih menarik, interaktif dan bermakna.
Perkongsian turut menekankan kepentingan penggunaan teknologi yang mempunyai tujuan pedagogi yang jelas serta berupaya meningkatkan penglibatan murid dan menghubungkan pembelajaran STEM dengan aplikasi dunia sebenar.
Webinar tersebut menerima penyertaan daripada pelbagai latar belakang termasuk pensyarah, guru dan mahasiswa daripada institusi di Indonesia serta peserta antarabangsa dari Filipina, sekali gus memperlihatkan jangkauan antarabangsa program berkenaan.
Penglibatan FSM UPSI sebagai institusi jemputan dalam International Webinar 2026 – Series 1 mencerminkan usaha berterusan fakulti dalam memperluas jaringan akademik antarabangsa, berkongsi kepakaran serta meningkatkan keterlihatan UPSI dalam bidang pendidikan STEM dan inovasi teknologi di peringkat serantau.
