Oleh : Zulkhuriatul Hannah Mhd Yusuf

Jeli, 20 Ogos 2026 – Kelab Belia Bitara dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Sungai Long (SKSL), Jeli, Kelantan telah menganjurkan Program Silang Budaya yang bertema Menyemai Perpaduan, Menikmati Kepelbagaian. Delegasi Kelab Belia Bitara diketuai oleh Dr. Nasrul Hakim Salleh yang tiba pada 18 Ogos 2026 jam 4.00 petang disambut dengan meriah oleh warga SKSL.

Pada waktu malam, berlangsung sesi santai Kelab Belia Bitara bersama warga SKSL dan kepimpinan PIBG SKSL. Seusai sesi tersebut, Kelab Belia Bitara dihidangkan dengan makanan tradisi Kelantan iaitu Nasi Kerabu.

Tepat jam 8.00 pagi, program bermula dengan gimik perarakan tiba delegasi Kelab Belia Bitara yang disambut meriah oleh warga SKSL dengan diringi persembahan seni silat tari.

YM Raja Hassan Raja Ismail, Guru Besar SKSL yang juga merupakan Anak Kandung Suluh Budiman dalam ucapan aluan beliau, menyatakan sangat terharu dan berbesar hati dengan kedatangan delegasi Kelab Belia Bitara. Beliau berharap program sebegini dapat diteruskan di masa-masa akan datang.

Program dimulakan dengan delegasi Kelab Belia Bitara mempersembahkan tarian tradisional Sabah dan Sarawak untuk warga SKSL. Persembahan unik dan menarik tersebut mendapat sambutan hangat daripada audien.

Di samping itu, Kelab Belia Bitara turut mengadakan aktiviti bersama pelajar SKSL. Aktiviti yang dijalankan bertujuan memperkenalkan kebudayaan Borneo kepada para pelajar. Keterujaan jelas dalam riak wajah pelajar sepanjang aktiviti tersebut berjalan.

Kemuncak program berakhir dengan penyampaian hadiah dan saguhati kepada pelajar yang terlibat dengan aktiviti. Pihak SKSL turut menyampaikan sijil penghargaan kepada delegasi Kelab Belia Bitara sebagai tanda penghargaan penganjuran Program Silang Budaya Pelbagai Kaum.

Jam 10.00 pagi 20 Ogos 2026, delegasi Kelab Belia Bitara bertolak meninggalkan SKSL dengan seribu kenangan yang terpahat dalam memori.