Oleh: Nurfatin Syazwani binti Halimi
TANJONG MALIM – Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) Kolej Awang Had Salleh (KAHS) Sesi 2026/2027 telah menganjurkan Bengkel Pemerkasaan Organisasi dan Hala Tuju yang berlangsung selama tiga hari, bermula 4 hingga 6 September 2026 di Dewan Harun Aminurrashid (KHAR), Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Bengkel ini bertujuan memperkukuh kepimpinan baharu MMK KAHS agar lebih bersedia mengurus organisasi kolej dengan berkesan, tersusun dan berimpak kepada penghuni kolej.
HARI PERTAMA: Pengukuhan Ukhuwah dan Mesyuarat Penyelarasan Pentadbiran

Program dimulakan dengan aktiviti riadah dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) bagi memupuk semangat kerjasama, komunikasi dan nilai kebersamaan dalam kalangan ahli MMK.
Seterusnya, Mesyuarat Penyelarasan MMK 2026/2027 diadakan bersama pihak pentadbiran kolej dan barisan felo. Pengetua KAHS, Dr. Mardiana binti Ismail, turut menyampaikan amanat dan panduan berkaitan hala tuju organisasi.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk perancangan program tahunan, penyediaan kertas kerja dan usaha memperkukuh pengurusan kolej demi manfaat penghuni.
HARI KEDUA: Slot ‘Merewang’, Pengurusan Kewangan & Inisiatif ‘Suara Pelajar”

Hari kedua dimulakan dengan solat Subuh berjemaah dan Kuliah Subuh bertajuk “Langkah Menjadi Pemimpin Yang Baik” yang disampaikan oleh Ketua Felo KAHS, Encik Muhammad Iman Iskandar. Peserta turut bergotong-royong menyediakan hidangan di Dapur Siswa Madani KAHS melalui aktiviti merewang yang mengeratkan hubungan antara ahli MMK, felo dan pentadbiran kolej.
Taklimat Pengurusan Kewangan dan Tajaan pula memberi pendedahan tentang penyediaan bajet, pengurusan kewangan dan strategi mendapatkan tajaan bagi menjayakan program mahasiswa. Selain itu, modul “Suara Pelajar 15 Minit” yang disampaikan oleh oleh Felo Blok F, Encik Muhammad Fakhrullah, menjadi platform untuk mengumpul cadangan dan pandangan pelajar berkaitan kebajikan serta kemudahan kolej.
Peserta juga mengikuti slot “Fellow Leader: Sembang, Kongsi dan Inspirasi” yang memberi pendedahan tentang protokol majlis, etika dan kemahiran kepimpinan profesional. Slot ini disampaikan oleh Felo Blok D, Dr Raja Ahmad Shalaby.


Hari terakhir diteruskan dengan pengisian rohani, aktiviti LDK dan slot “Time Smart: Lead Your Time” yang dikendalikan oleh Encik Muhammad Luqman Hakim.
Slot ini memberi penekanan kepada pengurusan masa yang berkesan serta keseimbangan antara akademik dan tanggungjawab kepimpinan.
Program diakhiri dengan sesi refleksi dan rumusan bersama pihak pentadbiran, barisan felo dan ahli MMK KAHS. Maklum balas yang diterima menunjukkan bengkel ini berjaya meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan semangat kepimpinan dalam kalangan peserta.
” “Bengkel ini bukan sahaja memperkukuh pengurusan organisasi, malah menyuntik semangat baharu kepada barisan MMK untuk terus berkhidmat demi kesejahteraan penghuni Kolej Awang Had Salleh.”.“
