Oleh: Heodho Krishna Dassa
TANJUNG MALIM, 30 Ogos – Sempena sambutan Bulan Kebangsaan, EXCO Perpaduan & Integrasi Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (MMKAB) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan festival FestDeka Kemerdekaan 2026 bertempat di Pusat Aktiviti Pelajar dan Gelanggang KAB. Program berprestij ini dirangka khas bagi memupuk semangat patriotisme, mengeratkan keharmonian warga kampus, serta menyerlahkan bakat serta kepimpinan mahasiswa.
Bagi menyemarakkan lagi suasana sambutan, Kempen 1 Rumah 1 Bendera turut digerakkan dengan menyeru seluruh warga Kolej Aminuddin Baki untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing sepanjang bulan kebangsaan ini.
Selain kempen kibar bendera, bakat seni visual para pelajar UPSI dan warga Muallim turut diuji menerusi Merdeka Digital Art Competition. Pertandingan ini memberi ruang kepada para peserta menterjemahkan konsep merdeka dan warisan budaya secara digital.
Kemeriahan pesta ini turut disemarakkan menerusi SUKKA, iaitu acara sukan penuh kelainan yang menyaksikan para peserta bertanding mengikut disiplin sukan masing-masing sambil mengenakan pakaian tradisional. Antara kelainan yang dibawakan termasuk penggunaan baju opah bagi acara bola jaring, pemakaian tanjak untuk sukan futsal, serta kain sarong bagi acara bola tampar.



Kemuncak program pada malam menjelang detik kemerdekaan menghimpunkan para pelajar bagi pengisian kerohanian menerusi solat berjemaah dan bacaan Yasin, sebelum diteruskan dengan saingan perlawanan akhir sukan, persembahan tarian, ucapan oleh pengarah program, Nur Aira Qistina Abdul Rahim.
“Teruskan berbakti kepada negara kepada negara, kerana masa depan watan ini terletak pada bahu kita,generasi muda”, kata pengarah program sebelum meneruskan majlis penyampaian hadiah, serta acara kemuncak sambutan detik Countdown Merdeka tepat jam 12:00 tengah malam

