Majlis di mulakan dengan kata-kata aluan dari Pengarah ProgramMajlis di mulakan dengan kata-kata aluan dari Pengarah Program

Oleh : Ameeruddin Aris dan Alif Abdul Rahim

Kolej Ungku Omar – Dalam era digital yang semakin berkembang, semangat cinta akan negara tidak lagi terbatas kepada sambutan secara bersemuka, malah turut diterjemahkan melalui kreativiti dan ekspresi generasi muda di alam maya. Program Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati dianjurkan oleh Exco Uniti dan Diversiti Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar sebagai wadah untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi universiti.

Program ini merupakan satu pertandingan secara atas talian yang mempertandingkan dua kategori, iaitu poster digital  dan deklamasi sajak patriotik yang bertemakan kemerdekaan. Program ini telah berlangsung dari 25 Ogos 2026 sehingga 16 September 2026 bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 dan sambutan Hari Malaysia ke-63 pada tahun ini.

Program ini telah disertai oleh 45 orang mahasiswa dan mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi dua kategori yang dipertandingkan. Kedua-dua kategori ini memberikan peluang kepada semua peserta untuk menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan poster digital serta deklamasi sajak patriotik sebagai satu karya dan persembahan dalam bentuk kesenian yang kreatif.

Dalam ucapan aluan Pengarah Program, Ariz Mohd Fadzly pada majlis penutupan menyatakan hasrat agar program seperti ini dapat menjadi platform untuk mencungkil bakat dalam kalangan peserta luar dan juga mahasiswa dan mahasiswi UPSI di samping dapat menerapkan semangat patriotik dan nasionalisme terhadap tanah air tercinta. Beliau juga berharap agar program seperti ini akan menjadi wadah baharu bagi penyatuan dan perpaduan bangsa dan agama.

Ucap felo penasihat program, Cik Ummi Kalsum Binti Mat Lazim, “Keharmonian yang kita nikmati hari ini perlu terus dipelihara oleh generasi muda. Semangat patriotisme bukan sekadar rasa bangga menjadi rakyat Malaysia, tetapi turut merangkumi sikap saling menghormati, bertanggungjawab dan bersedia menyumbang kepada masyarakat serta negara”. Beliau juga menyeru generasi kini perlu mengenang jasa pejuang-pejuang kemerdekaan agar benar-benar merasai nikmat kesejahteraan yang pada masa kini kita perolehi. 

Ucapan Felo Penasihat Cik Ummi Kalsum Binti Mat Lazim.
 Ucapan Perasmian oleh Pengetua Kolej Ungku Omar iaitu Professor, Dr. Hj Mohd Nizam Bin Hj Nasriffan. 

“Program seperti ini seharusnya menjadi platform yang bermakna dalam menyemai semangat cintakan negara, mengeratkan hubungan sesama warga kolej serta menghayati nilai-nilai Malaysia Madani dalam kehidupan seharian”, kata Profesor Dr. Hj. Mohd Nizam Nasrifan, Pengetua Kolej Ungku Omar perasmi bagi Majlis Perasmian Penutupan Program tersebut.

Program ini telah berjaya menonjolkan dan menunjukkan bahawasanya penyatuan bangsa,  agama dan budaya bukan sahaja melalui program fizikal namun melalui program secara atas talian ini juga, mampu menjadi penanda aras baharu bagi program-program berkaitan dengan kemerdekaan dan perpaduan negara Malaysia.