KOTA KINABALU – Dengan kerjasama baik antara Jabatan Penjara Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), UPSI melalui Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) telah mengadakan sesi lawatan tapak dan audit lokasi bagi Program Diploma Keusahawanan “Pelita Budiman” di Penjara Pusat Kota Kinabalu, Sabah. Audit ini dilaksanakan bagi menilai kecukupan infrastruktur serta kemudahan sedia ada, sekali gus menjamin kelancaran pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di lokasi baharu tersebut.
Program Diploma Keusahawanan ini merupakan inisiatif pendidikan berimpak tinggi yang menawarkan sijil diploma kepada warga prospek (banduan) sebagai persediaan menjamin masa depan mereka selepas dibebaskan nanti. Kohort pertama program ini telah pun tamat sepenuhnya, yang telah bermula pada Ogos 2022 sehingga berjaya menggraduatkan 20 orang pelajar. Program kohort kedua sedang berjalan bermula Mac 2025 dan selama dua tahun dan kedua-dua kohort 1 dan 2 dilaksanakan di Bilik Kuliah Pelita Budiman di Penjara Kluang, Johor.
Memandangkan terdapat permintaan yang tinggi dan hasrat untuk memberikan peluang kedua kepada lebih ramai prospek, UPSI bercadang untuk mengembangkan lokasi PdP ke Sabah. Perkembangan ini sejajar dengan misi UPSI untuk menyediakan akses pendidikan yang setara dan berteraskan keusahawanan dalam kalangan komuniti institusi pemulihan. Kohort ketiga pula bakal dilaksanakan di Penjara Pusat Kota Kinabalu, Sabah dengan pengambilan 20 orang pelajar prospek muda yang akan mengikuti sepenuhnya Program Diploma Keusahawanan “Pelita Budiman”.
Tujuan Mesyuarat dan Audit Lokasi ini diadakan untuk menilai kesesuaian lokasi kelas, bengkel amali, dan ruang pembelajaran bagi 20 pelajar prospek muda, memeriksa kemudahan asas seperti keperluan elektrik, capaian rangkaian, serta ruang penyimpanan bahan pengajaran, memastikan aspek keselamatan dan kelancaran operasi pengajaran mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Penjara Malaysia, dan mengenal pasti penambahbaikan infrastruktur sebelum pelaksanaan sepenuhnya Kohort Ketiga.
Jawatankuasa panel penilai bagi mesyuarat audit lokasi ini terdiri daripada barisan pentadbir dan ahli akademik UPSI yang berpengalaman iaitu Prof. Madya Dr. Mohd Asri bin Mohd Noor – Dekan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Prof. Madya Dr. Mohd Abdul Nasir bin Abd Latif – Pengarah WEZAS (Pusat Pembangunan Usahawan UPSI), Puan Suhaila binti Sidek – Ketua Timbalan Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA), Dr. Suzyanty binti Mohd Shokory – Ketua Jabatan Pengurusan Perniagaan dan Keusahawanan, FPE, Dr. Raja Nazim bin Raja Abdullah – Penyelaras Program Diploma Keusahawanan, FPE, dan Puan Sabariah binti Thambi – Pegawai Tadbir, BHEA
Ketibaan delegasi UPSI disambut mesra oleh TKP Tey Hock Soon (Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan) serta PKK Hamdan Salleh bin Majin (Pengarah Penjara Pusat Kota Kinabalu). Dalam ucapannya, TKP Tey Hock Soon menegaskan “Program ini amat baik dengan UPSI sebagai badan yang memberikan sijil diploma kepada prospek yang bakal menjamin masa depan mereka apabila bebas kelak. Ia bukan sekadar pendidikan, tetapi satu transformasi hidup.”
Sementara itu, PKK Hamdan Salleh bin Majin, Pengarah Penjara Pusat Kota Kinabalu, turut menyambut baik pelaksanaan Kohort Ketiga di penjara tersebut. Beliau berkata “Program ini amat dialu-alukan. Kami menyambut baik hasrat UPSI untuk membawa masuk program diploma keusahawanan kepada 20 orang prospek muda di sini. Ini adalah satu peluang emas untuk mereka membina masa depan yang lebih cerah.”
Kerjasama ini turut mencerminkan komitmen Jabatan Penjara Malaysia dalam menyokong program pemulihan berasaskan pendidikan tinggi.
Audit lokasi ini mencapai kesimpulan bahawa program sepanjang hayat (seumur hidup) sebegini amat baik dan memberikan impak tinggi kepada pembangunan modal insan dalam institusi pemulihan. Dengan pengembangan Kohort Ketiga ke Sabah yang melibatkan 20 pelajar prospek muda, lebih ramai prospek berpeluang memperoleh kelayakan diploma yang diiktiraf, sekaligus mengurangkan kadar residivisme dan melahirkan usahawan baharu selepas bebas.
Lebih membanggakan, UPSI menjadi benchmark (tanda aras) kepada universiti awam dan swasta di Malaysia dalam menyediakan program diploma berstruktur di dalam penjara. Inisiatif ini diharap dapat dicontohi oleh institusi pengajian tinggi lain demi merealisasikan pendidikan untuk semua, tanpa sempadan.
