Oleh: Shahaniza Shamsuddin
PULAU PINANG, 28 September 2026 – Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan (PIPP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan kunjungan ke Penang Science Cluster (PSC) bagi meneroka potensi kerjasama strategik dalam bidang inovasi, teknologi dan pendidikan masa hadapan.
Kunjungan tersebut merupakan antara usaha PIPP dalam memperluas jaringan strategik bersama organisasi yang mempunyai kepakaran serta pengalaman dalam pembangunan ekosistem sains, teknologi, kejuruteraan dan inovasi, khususnya melibatkan generasi muda.
Sepanjang kunjungan, delegasi PIPP berpeluang mendapatkan perkongsian mengenai pelbagai inisiatif dan pendekatan yang dilaksanakan oleh PSC dalam membudayakan inovasi, pembangunan bakat, pembelajaran berasaskan teknologi serta penglibatan industri dalam menyokong pendidikan STEM.
Pertemuan tersebut turut menjadi platform bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai amalan terbaik serta mengenal pasti ruang kerjasama yang berpotensi untuk dibangunkan, termasuk pelaksanaan program pendidikan dan inovasi, pembangunan bakat murid dan guru, perkongsian kepakaran serta program yang menghubungkan institusi pendidikan dengan industri.
Kunjungan ini juga selari dengan aspirasi PIPP untuk memainkan peranan sebagai pemacu pemodenan pendidikan di UPSI melalui pengukuhan jaringan antara universiti, sekolah, industri dan organisasi strategik.

Melalui jalinan bersama PSC, PIPP berharap agar beberapa inisiatif berimpak dapat diteroka dan dibangunkan secara bersama pada masa hadapan, khususnya dalam memperkasakan pembelajaran berasaskan inovasi, teknologi, kreativiti dan penyelesaian masalah dalam kalangan murid.
Kerjasama tersebut juga berpotensi menyokong pembangunan program di Sekolah Seri Budiman (SSB), UPSI sebagai salah satu platform pelaksanaan dan pengujian pendekatan pendidikan masa hadapan yang diterajui PIPP.
Kunjungan berkenaan menjadi satu lagi langkah PIPP dalam memperkukuh jaringan strategik dengan rakan industri dan organisasi berkepakaran, sekali gus menyokong usaha UPSI untuk terus menerajui pembaharuan dan pemodenan pendidikan yang relevan dengan perkembangan teknologi serta keperluan generasi masa hadapan.

