Penyampaian cenderamata kepada Pengarah Leave a NestPenyampaian cenderamata kepada Pengarah Leave a Nest

Oleh: Shahaniza Shamsuddin

CYBERJAYA, 10 September 2026 – Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan (PIPP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan lawatan strategik ke Chumbaka dan Leave a Nest di Cyberjaya sebagai salah satu usaha memperluas jaringan industri serta meneroka pendekatan inovatif dalam pemodenan pendidikan berteraskan teknologi.

Lawatan ini memberi peluang kepada delegasi PIPP untuk mendapatkan pendedahan secara lebih dekat mengenai ekosistem pembelajaran berasaskan teknologi, inovasi dan pembangunan bakat yang dilaksanakan oleh kedua-dua organisasi. Perkongsian yang diadakan turut membuka ruang perbincangan mengenai pendekatan pendidikan masa hadapan yang mengintegrasikan kreativiti, penyelesaian masalah, teknologi serta pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna.

Kunjungan ke Chumbaka memberi ruang kepada PIPP untuk memahami pendekatan yang digunakan dalam membangunkan kemahiran teknologi dan inovasi dalam kalangan generasi muda. Perbincangan turut menyentuh potensi kerjasama dalam pembangunan program, latihan, perkongsian kepakaran serta pelaksanaan inisiatif pendidikan yang dapat memperkukuh kompetensi digital dan pemikiran inovatif murid.

Sementara itu, lawatan ke Leave a Nest membuka perspektif terhadap pembangunan ekosistem yang menghubungkan pendidikan, sains, teknologi, penyelidikan, inovasi dan keusahawanan. Pertemuan tersebut turut menjadi platform untuk meneroka peluang kolaborasi yang berpotensi menghubungkan kepakaran UPSI dengan rangkaian industri dan inovasi yang lebih luas.

Lawatan ini selari dengan aspirasi PIPP sebagai pusat yang menerajui inisiatif pemodenan pendidikan melalui pembangunan kurikulum neoterik, penerapan teknologi pendidikan, pembangunan bakat serta pengukuhan jaringan strategik bersama industri dan komuniti.

Perbincangan bersama wakil Chumbaka
Perbincangan bersama pengurusan Leave a Nest
Penyampaian cenderamata kepada wakil Chumbaka

Melalui jalinan kerjasama seperti ini, PIPP berhasrat untuk membawa amalan, idea dan teknologi yang bersesuaian ke dalam ekosistem pendidikan UPSI, termasuk meneroka pelaksanaannya di Sekolah Seri Budiman (SSB) sebagai platform pendidikan yang menyokong inovasi dan pembelajaran masa hadapan.

Lawatan strategik ini diharapkan menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih berstruktur antara PIPP, Chumbaka dan Leave a Nest dalam pembangunan program pendidikan, penyelidikan, inovasi, teknologi serta pembangunan bakat.

PIPP akan terus memperkukuh jaringan strategik bersama rakan industri dan organisasi inovasi dalam usaha memastikan agenda pemodenan pendidikan UPSI berkembang secara dinamik, relevan dan berimpak serta menyumbang kepada pembentukan ekosistem pendidikan masa hadapan.