Oleh : Dr Fazhana Ismail
Tanjong Malim, 1 Oktober: Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima lawatan pihak MARDI bagi membincangkan kerjasama khidmat nasihat teknikal untuk pembangunan ladang durian pelbagai varieti di Pusat Agropelancongan (PAP) FTV.
Lawatan tersebut disertai oleh Pengarah MARDI Perak, Dr. Noor Shaeda binti Ismail; Puan Zarina Ismail, Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Pemindahan Teknologi dan Pembangunan Usahawan Negeri Perak (TE); serta Encik Mohammad ‘Ammaruddin bin Mohamed Amin, Pengurus MARDI Kuala Kangsar.
Kerjasama ini merupakan kesinambungan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPSI dengan MARDI yang dimeterai pada tahun 2024. Selaras dengan fungsi MARDI dalam penyelidikan dan pemindahan teknologi pertanian, kerjasama ini diharapkan dapat memperluas pemindahan ilmu serta amalan penanaman durian yang sistematik dan moden kepada pelajar serta komuniti.
Sesi lawatan ini bertujuan mendapatkan pandangan dan khidmat nasihat teknikal MARDI berkaitan penanaman serta pengurusan durian pelbagai varieti. Input tersebut akan membantu jabatan merancang pembangunan ladang secara lebih teratur dan bersesuaian dengan keadaan kawasan.
Projek yang dirancang melibatkan kawasan seluas empat ekar di PAP FTV. Antara varieti durian yang akan ditanam ialah MS88, D197, D200, MDUR 78, MDUR 79, D168, D2, D99 dan Kepayang. Kepelbagaian varieti ini akan memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari ciri varieti serta keperluan penanaman dan pengurusannya.
Ladang ini akan menjadi lokasi pengajaran dan pembelajaran (PdP) pelajar, tapak penyelidikan serta ruang perkongsian ilmu penanaman dan pengurusan durian kepada komuniti sekitar.



Ketua Jabatan Sains Pertanian menyatakan hasrat agar ladang tersebut dibangunkan sebagai pusat rujukan durian pelbagai varieti yang menghubungkan pembelajaran, penyelidikan dan khidmat pengembangan pertanian kepada masyarakat.
Dalam jangka panjang, pembangunan ladang ini turut membuka ruang untuk penerokaan produk hiliran berasaskan durian seperti tempoyak, pes durian dan jem durian. Usaha tersebut diharapkan dapat memperluas pengalaman pembelajaran pelajar dalam aspek pemprosesan hasil, pembangunan produk dan keusahawanan pertanian.
Kerjasama khidmat nasihat bersama MARDI ini diharapkan menjadi langkah awal ke arah pembangunan ladang durian yang terancang, produktif dan mampu memberi manfaat berterusan kepada pelajar serta komuniti.
