Oleh: Dr. Nasrul Hakim Salleh
Keresahan semakin membelenggu benak pemikiran ibu bapa apabila kes-kes buli kritikal semakin kerap berlaku dalam sekolah yang menjadi tempat paling selamat bagi anak-anak remaja. Dalam masa dua minggu ini sahaja, masyarakat dikejutkan dengan kes kematian dua pelajar di sekolah, Muhammad Idlan, empat belas tahun ditemui meninggal dunia di asrama, manakala Irene Sofia, enam belas tahun ditemui terkulai layu di dewan sekolah sebelum menghembuskan nafas terakhir. Lebih malang, pihak polis mengesahkan kedua-dua kes tersebut adalah diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan masih dalam siasatan lanjut.
Situasi ini menimbulkan kegelisahan dalam kalangan ibu bapa yang memikirkan soal berkaitan keselamatan anak-anak masing. Tujuan utama sekolah ialah untuk melahirkan modal insan holistik sebagaimana yang dipasakkan dalam Falsafah Pendidikan Negara. Malah, Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026 – 2035 secara jelas memberikan tumpuan kepada aspek holistik dalam membangunkan modal insan Malaysia. Namun, tragedi yang hitam yang semakin acap melanda, membuatkan kita semakin bingung dan tertanya-tanya, apakah di sebalik kejayaan besar pencapaian akademik yang semakin meningkat ada lompong yang masih belum diisi.
Satu persoalan yang perlu direnungkan, apakah segala macam tragedi yang melanda di sekolah itu merisaukan pelajar? Berdasarkan Akta 668, pelajar sekolah yang berusia lima belas hingga 18 tahun termasuk dalam kategori belia peringkat awal mengikut pembahagian umur belia yang diperkenalkan Dasar Belia Malaysia (DBM). Generasi inilah yang menjadi harapan untuk menggalas cabaran meneruskan kelangsungan, kemajuan dan ketamadunan negara. Namun, realiti menunjukkan hal yang sebaliknya.
Sebenarnya, kita hampir terlupa bahawa Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) telah mempunyai penanda aras untuk mengukur tahap kesejahteraan hidup belia melalui pemetaan Indeks Belia Malaysia. Indeks tersebut mengukur enam domain utama iaitu, pendidikan; ekonomi; kesejahteraan mental dan fizikal; sosialisasi politik, kenegaraan dan demokrasi; nilai dan identiti; dan media dan digital citizenship. Indeks Belia Malaysia 2024 (IBM 24) telah memberikan gambaran jelas bahawa tragedi yang buruk bakal melanda generasi belia awal ini. Skor domain Nilai dan Identiti turun secara drastik daripada 90.90 pada tahun 2023 kepada 75.71 pada tahun 2024. Skor domain nilai dan identiti bertujuan mengukur dan menilai pembangunan sahsiah unggul belia.
Bagaimana kita boleh terlepas pandang dengan amaran yang telah pun dikenalpasti daripada awal. Daripada tujuh indikator yang diukur dalam domain nilai dan identiti, enam indikator berada di bawah skor kurang memuaskan (40-49) iaitu, sensitiviti/keprihatinan, konsep kendiri, gaya hidup, kepimpinan dan kawalan diri. Lebih merisaukan, indikator keprihatinan dan sensitiviti menunjukkan pola penurunan setiap tahun bermula pada tahun 2021 sehingga tahun 2024. Skor indikator sensitiviti dan keprihatinan pada tahun 2021 ialah 68.50 dan terus menurun kepada 35.28 pada tahun 2024.
Data tersebut seperti sebuah kisah dongeng yang agak sukar untuk diterima akal sihat, namun itulah hakikat sebenar yang sedang berlaku. Justeru, tidak hairanlah jika tidak ada pelajar yang sanggup membantu rakan yang sedang menghadapai masalah buli kerana masing-masing sudah tidak peduli antara satu sama lain dan hanya menumpukan kepada proses untuk bersaing bagi mendapatkan pencapaian akademik yang lebih hebat.
Sudah terang lagi bersuluh, data itu tersebut telah memberi amaran yang jelas bahawa, ada bom jangka yang telah dihidupkan suis dan hanya menunggu detik-detik masa sahaja untuk meledak. Nilai keprihatinan dan sensitivi merupakan aspek yang sangat penting dalam manusia kerana masyarakat hidup dalam dua asas teori sosial utama iaitu fungsional dan konflik. Dua keadaan yang memerlukan penguasaan nilai keprihatinan dan sensitiviti yang tinggi. Mungkin ada suara yang menyatakan bahawa hanya segelintir pelajar sahaja yang terlibat dalam salah laku. Dalam dunia kehidupan realiti, seorang ahli komuniti yang bermasalah sudah cukup untuk menganggu gugat ketenteraman kehidupan beratus ahli komuniti yang lain.
Pertembungan teori utilitarianisme dan deontologi sentiasa berlaku dalam pertimbangan kehidupan manusia. Prinsip utilirianisme membenarkan segala bentuk tindakan dilakukan dengan hasrat perbuatan tersebut memberikan kebahagian terbesar dan terbanyak kepada pelakunya. Namun, etika deontologi pula mengambil kira kesalahan tetap tidak boleh dibenarkan walaupun perilaku tersebut berupaya memberikan kebahagiaan kepada pelakunya. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sendiri telah mengambil inisiatif memperkenalkan Program Pembentukkan Karakter dalam Kurikulum Persekolahan 2027 yang akan dimulakan pada peringkat pra sekolah. Pelaksanaan program tersebut amat bersesuaian dengan senario yang sedang melanda generasi belia hari ini yang semakin ketandusan nilai dan identiti yang dalam perkataan lain merujuk kepada akhlak dan adab.
Duli Yang Maha Mulia, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dalam titah ucapan baginda baru-baru ini turut menzahirkan kebimbangan baginda terhadap krisis adab dan akhlak yang semakin meruncing dalam kalangan rakyat Malaysia. Baginda turut menyebut dalam titahnya bahawa keruntuhan nilai adab dan akhlak menjadi penyebab utama kepada kehancuran sesebuah ketamadunan. Baginda berpesan agar aspek pembangunan adab diberikan tumpuan sepenuhnya demi memastikan generasi masa hadapan tidak tandus adab dan kekeringan akhlak dalam kehidupan.

Dalam konteks sekarang, sikap menuding jari dan saling menyalahkan pihak lain perlu didielakkan. Semua pihak perlu berganding bahu membangunkan semula ruh generasi belia awal yang semakin hilang ditelan kemodenan era buatan kecerdasan. Kerjasama erat dua institusi utama iaitu institusi keluarga dan sekolah sangat diperlukan bagi membentuk dan mendidik semula generasi modal insan harapan kita ini. Institusi sekolah bertindak menerapkan segala macam teori pendidikan, manakala institusi keluarga bertindak memantau dan menjayakan segala macam teori yang dipelajari oleh anak-anak di sekolah untuk diamalkan dalam kehidupan seharian di rumah. Di samping itu, masyarakat juga tidak perlu segan silu menegur anak-anak yang melakukan kesalahan. Ini bukan soal menjaga tepi kain orang lain, sebaliknya membetulkan kain si pemakai yang silap, yang tidak dibolehkan ialah masuk ke dalam kain orang lain.
