Oleh: Hafizan Mohamad Dain
TANJONG MALIM, 6 Oktober 2026 – Dewan SITC menyaksikan sejarah gemilang tercipta pada 3 Oktober 2026 melalui pelaksanaan Karnival Alam Sekitar 2026 (KAS 26) yang dianjurkan Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) dengan kerjasama Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda (JPPHB).
Penganjuran karnival turut melibatkan kerjasama erat pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk SWCorp, Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN), Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM), Jabatan Perangkaan Malaysia serta rakan strategik lain seperti Affin Islamic Bank dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM).
KAS 26 menjadi platform menghimpunkan warga universiti, komuniti serta pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha memupuk dan membudayakan gaya hidup lestari.
Penganjuran KAS 26 membuka tirai menerusi pelepasan peserta Sg. Bernam X UPSI Fun Trail Run 2026 pada 7.30 pagi yang disempurnakan oleh Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Pengkormesilan, FSK, Prof. Madya Dr. Kamarul Ismail.
Selain itu, KAS 26 juga dimeriahkan dengan Jualan Rahmah, jualan ikan segar daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), gerai-gerai jualan dan reruai pameran daripada pelbagai agensi.
KAS 26 juga mencipta kelainan apabila turut melibatkan penganjuran Hari Terbuka FSK yang memberikan peluang kepada pelajar FSK dan ibu bapa untuk beramah mesra dan mendapatkan panduan akademik daripada pensyarah FSK melalui sesi penasihatan akademik.
Kemuncak KAS 26 bermula apabila Profesor Dr. Raja Nor Safinas binti Raja Harun, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merasmikan peluncuran Bottle Cap Mural.
FSK telah mengambil inisiatif menganjurkan kempen 10K Bottle Cap Challenge yang bermula pada Mac 2026 dan berakhir pada Jun 2026 yang melibatkan warga UPSI dan komuniti sekitar Muallim.
Kempen tersebut berjaya mencapai kejayaan yang membanggakan apabila berjaya mengumpulkan sebanyak 10K penutup botol seperti yang dihasratkan. Bagi memastikan misi menghasilkan bottle cap mural berjalan lancar, FSK menjalin kolaborasi dengan Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK) bagi membentuk mural yang sangat indah.
Majlis perasmian KAS 26 juga menyaksikan peluncuran Polisi dan Pelan Tindakan Environmental, Social and Governance (ESG) UPSI.
Peluncuran polisi berkenaan merupakan antara langkah strategik UPSI dalam memperkasakan agenda ESG dan menterjemahkan prinsip kelestarian dalam ekosistem universiti.
Dalam ucapan perasmiannya, Prof. Dr. Raja Nor Safinas berkata, institusi pendidikan tinggi mempunyai peranan penting dalam mendepani cabaran iklim, pencemaran dan kemerosotan biodiversiti, bukan sahaja melalui penyampaian ilmu tetapi juga pembentukan generasi masa hadapan.
“Institusi tinggi memainkan peranan penting bukan sahaja untuk menyampaikan ilmu, malah membentuk nilai, sikap dan tindakan generasi masa hadapan.”

Beliau berkata, langkah UPSI memperkukuh agenda kelestarian amat bertepatan dengan keperluan semasa, selari dengan peranan universiti dalam melahirkan pendidik yang berilmu dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Mengakhiri ucapannya, Prof. Dr. Raja Nor Safinas menyeru seluruh warga universiti supaya menjadikan kelestarian sebagai budaya dan amalan bersama.
“Pembangunan sebenar bukan sahaja diukur daripada apa yang kita bina hari ini, tetapi daripada apa yang kita tinggalkan untuk generasi akan datang.”
