Oleh: Ahmad Ariff Audi Mohamad

TANJONG MALIM, 29 September 2026 – Pusat Kokurikulum, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi unit Adventure Leadership & Outdoor Recreation Academy (AURORA) telah menganjurkan Bengkel Audit Dalaman MS ISO 21101:2014 – Sistem Pengurusan Keselamatan Pelancongan Kembara pada 28 hingga 29 September 2026 sebagai salah satu usaha memperkukuh pengurusan keselamatan serta meningkatkan kecekapan pengurusan aktiviti pelancongan kembara.

Bengkel ini dikendalikan oleh National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH) dengan kepakaran tenaga pengajar, En. Amirun Nusukin Azman dan Pn. Siti Nur Ida Zaharudin.

Sepanjang bengkel, peserta yang terdiri daripada kakitangan Pusat Kokurikulum didedahkan kepada prinsip dan keperluan MS ISO 21101:2014, khususnya berkaitan pelaksanaan audit dalaman, pengurusan risiko, pemantauan aspek keselamatan serta penilaian keberkesanan sistem pengurusan keselamatan dalam aktiviti pelancongan kembara.

Pendedahan ini turut memberi peluang kepada peserta untuk meningkatkan kemahiran dalam mengenal pasti ketidakakuran, menyediakan penemuan audit serta melaksanakan tindakan penambahbaikan secara sistematik.

Penganjuran bengkel ini merupakan langkah strategik dalam memperkukuh budaya keselamatan, tadbir urus dan penambahbaikan berterusan, selari dengan aspirasi Pusat Kokurikulum sebagai pusat yang memberi penekanan kepada pembangunan kepimpinan pengembaraan dan rekreasi luar secara profesional.

Melalui pelaksanaan sistem pengurusan keselamatan yang lebih tersusun, Pusat Kokurikulum komited untuk memastikan setiap aktiviti pelancongan kembara yang dilaksanakan mengutamakan aspek keselamatan dan pengurusan risiko.