TANJONG MALIM, 15 Oktober 2026 – Pusat Kokurikulum, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima kunjungan wakil Persatuan Mendaki Malaysia (PMM) bagi berkongsi pandangan dan memberikan input berkaitan cadangan pembangunan Mountain School.
Delegasi Persatuan Mendaki Malaysia (PMM) terdiri daripada Mohd Zaidi Kamariddin, Presiden PMM, serta Haji Musa Haji Atan, Mantan Presiden PMM dan telah disambut oleh Prof. Madya Dr. Mazuki Mohd Yasim, Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI serta Dr. Azi Azeyanty Jamaludin, Penyelaras Pendidikan Adventure Leadership & Outdoor Recreation Academy (AURORA).
Kunjungan tersebut menjadi platform perkongsian maklumat dan pertukaran pandangan berhubung potensi pembangunan Mountain School, khususnya dalam aspek pendidikan luar, latihan pendakian, pembangunan kompetensi serta keselamatan aktiviti di kawasan pergunungan.
Input dan pandangan yang dikongsikan oleh pihak persatuan memberi perspektif tambahan kepada Pusat Kokurikulum UPSI dalam meneliti perkara berkaitan pembangunan pendidikan dan latihan pendakian. Perkongsian ini juga membuka ruang kepada perbincangan yang lebih luas dengan mengambil kira kepakaran, pengalaman serta pandangan pelbagai pihak berkepentingan dalam bidang rekreasi dan pendidikan luar.
Pusat Kokurikulum UPSI menghargai perkongsian yang diberikan sebagai sebahagian daripada usaha mendapatkan pandangan dan maklumat bagi menyokong pembangunan bidang pendidikan luar dan rekreasi yang terancang, inklusif serta mengutamakan keselamatan.
