Oleh: Muhamad Iman Wedad Dawod
TANJONG MALIM, 4 Okt 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) secara rasminya menyambut ketibaan delegasi antarabangsa daripada Altai State Pedagogical University (AltSPU), Rusia bersempena pelaksanaan Program Rusia-Malaysia yang bakal berlangsung sepanjang Oktober ini.
Rombongan seramai 11 orang wakil yang terdiri daripada barisan ahli akademik, pelajar sarjana serta jawatankuasa tugas khas tersebut diketuai oleh Prof. Alexandra Semkina.
Ketibaan mereka disambut mesra oleh Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Profesor Madya Dr. Mazura @ Mastura binti Muhammad bersama barisan ahli akademik Akademi Bahasa Antarabangsa (AKAR).
Kunjungan akademik selama tiga minggu, bermula 4 hingga 24 Oktober 2026, ini dirancang khusus untuk memperkukuh jaringan diplomasi pendidikan dua hala antara UPSI dan Altai State Pedagogical University (AltSPU) melalui pengisian holistik yang menggabungkan aspek akademik, bahasa dan kebudayaan.
Sepanjang tempoh lawatan, delegasi Altai State Pedagogical University (AltSPU) akan mengendalikan pelbagai pengisian akademik dan kebudayaan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai tuan rumah.
Antara pengisian yang bakal dilaksanakan termasuk kursus dan aktiviti pengajaran bahasa Rusia secara intensif, sesi perkongsian serta wacana akademik, interaksi bersama warga akademik dan pelajar, serta aktiviti seni dan kebudayaan yang mengetengahkan bahasa, tradisi dan warisan Rusia.
Inisiatif ini dianjurkan secara bersama oleh Akademi Bahasa Antarabangsa (AKAR), FBK, bagi memperkasakan mobiliti akademik, penguasaan bahasa asing serta pemindahan ilmu silang budaya antara Malaysia dan Rusia.

Kunjungan berimpak tinggi ini turut menjadi pemangkin kepada pengantarabangsaan kurikulum serta membuka ruang kolaborasi penyelidikan yang lebih luas antara kedua-dua buah universiti, sekali gus memperkukuh peranan AKAR dalam mempelbagaikan penawaran bahasa antarabangsa, seterusnya menyokong hasrat universiti melahirkan graduan berjiwa pendidik yang berwawasan global.
Diharapkan, kehadiran delegasi AltSPU ini membuktikan komitmen berterusan UPSI dalam memacu agenda pengantarabangsaan dan diplomasi pendidikan di persada dunia.
Kerjasama strategik ini diharapkan dapat menjadi titik tolak kepada pemeteraian persefahaman yang lebih lestari, seterusnya memposisikan UPSI sebagai institusi peneraju dalam pertukaran ilmu, kebudayaan dan persahabatan antara Malaysia dan Rusia.

