Oleh: Diana Jumadi
TANJONG MALIM, 6 Oktober 2026 – Suasana di Auditorium Utama, UPSI bertukar ceria dan penuh warna-warni apabila seramai 68 orang murid dari Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB) hadir menggayakan busana watak kartun kegemaran masing-masing dalam slot aktiviti interaktif bertemakan ‘Toy Story’ sempena Program Rusia-Malaysia, hari ini.
Aktiviti yang bermula seawal pukul 10.30 pagi ini dirasmikan secara ringkas oleh Ketua Delegasi, iaitu Prof. Alexandra Samkina. Berlangsung dalam suasana kawasan permainan yang dinamik, pengisian aktiviti kali ini didedikasikan khas bagi memperingati sambutan ulang tahun kelahiran tokoh penyair wanita agung Rusia, Agnia Barto.
Melangkah masuk ke ruang acara, para pelajar SRSB nyata terpukau dengan dekorasi warna-warni bertemakan negara Rusia yang mempesonakan. Nilai estetika program diserikan lagi dengan pameran hiasan mainan tradisional Rusia, termasuk patung matryoshka dan seni mozek klasik.
Keadaan menjadi lebih gamat dan ceria apabila para pelajar diminta memperagakan mainan kegemaran masing-masing, sekali gus berpeluang mempelajari sebutan dan nama objek tersebut dalam bahasa Rusia serta mempelajari asas bahasa Rusia dalam bentuk cerita pendek.
Keunikan program ini terletak pada garapan aktiviti yang disusun rapi dan harmoni. Antara pengisian berimpak yang berjaya mencuri tumpuan termasuklah tayangan animasi pendek bermesej, permainan Cross the Bridge, bengkel linguistik asas bahasa Rusia, tarian, dan nyanyian lagu kanak-kanak popular dalam bahasa Rusia. Para pelajar turut menyalurkan bakat kreatif menerusi aktiviti melukis bertemakan “My Favorite Toy”.



Sementara itu, wakil guru pengiring SRSB menzahirkan rasa kagum dan penghargaan atas penganjuran program ini yang menyuntik dimensi baharu serta anjakan paradigma dalam proses pembelajaran luar bilik darjah. Diharap agar program pendedahan global seperti ini dapat menyuntik keyakinan diri pelajar untuk berkomunikasi di peringkat antarabangsa, selain meluaskan horizon pemikiran mereka melalui aktiviti silang budaya yang kreatif.
Sebelum tirai aktiviti “Toy Story” dilabuhkan, murid-murid bersama guru pengiring dan delegasi Rusia mengambil peluang merakamkan foto kenangan bersama sebagai tanda ingatan terhadap detik bersejarah itu.
