Ahli Kor SISPA UPSI bersama dengan Kapt. (PA) Shahrizal Hussin di atas pentas selepas berlangsungnya Program Konvensyen KARISMA Pemimpin Muda Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2026Ahli Kor SISPA UPSI bersama dengan Kapt. (PA) Shahrizal Hussin di atas pentas selepas berlangsungnya Program Konvensyen KARISMA Pemimpin Muda Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2026

Oleh : Yusnina Maria Anak Murie

TANJONG MALIM, 14 OKTOBER – Seramai 150 anggota Kor SISPA UPSI telah menzahirkan komitmen dan disiplin yang tinggi menerusi penyertaan dalam Program Konvensyen KARISMA Pemimpin Muda Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2026 yang telah berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah pada 14 Oktober lalu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir antara lain dalam ucapannya berkata, program berkenaan diwujudkan sejak beliau menerajui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi membangunkan bakat kepimpinan dalam kalangan pensyarah dan pentadbir muda institusi pengajian tinggi (IPT).

“Pendedahan terhadap aspirasi kepimpinan pendidikan tinggi membolehkan mahasiswa memahami kepentingan membina matlamat yang jelas, memikul tanggungjawab dan mengamalkan kerjasama dalam organisasi,” katanya.

Motivasi yang diberikan beliau dalam melahirkan barisan pelapis kepimpinan yang berwibawa di institusi pendidikan tinggi menjadi inspirasi kepada anggota Kor SISPA UPSI untuk mengembangkan potensi kepimpinan melalui penglibatan aktif dalam universiti, sekali gus mempersiapkan diri untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin yang berintegriti dan berwawasan pada masa hadapan.

Dalam amanatnya, beliau menegaskan bahawa kepimpinan memerlukan matlamat yang jelas, kekuatan nilai dan rasa tanggungjawab bersama. Katanya, jawatan merupakan satu amanah, manakala kejayaan sesebuah institusi bergantung pada kerjasama seluruh warganya.

Beliau turut menekankan kepentingan pemikiran kritis, nilai kemanusiaan dan pertimbangan etika ketika kecerdasan buatan (AI) serta teknologi semakin mempengaruhi kehidupan.

“Kita mahu melahirkan pemimpin yang kuat ilmu dan keperibadiannya iaitu melalui pembentukan ‘otak dan watak’,” katanya.

Walaupun anggota Kor SISPA UPSI hadir sebagai peserta sahaja, namun amanat yang disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, memberikan impak yang amat besar dalam membentuk pemahaman mahasiswa terhadap kepimpinan yang berwibawa.

Pegawai Penyelaras Kor SISPA UPSI, Kapt. (PA) Shahrizal Hussin berkata konvensyen yang  bertemakan “Memperkasa Kepemimpinan Masa Hadapan” itu menjadi ransangan untuk anggota SISPA dalam melahirkan  pemimpin pelapis.

“Penyertaan pelajar Kor SISPA UPSI dalam konvensyen ini, telah memberikan nilai tambah dalam usaha membentuk barisan kepimpinan mahasiswa yang berdisiplin, bertanggungjawab dan berkeupayaan mengurus organisasi secara sistematik.

Kepimpinan di peringkat IPT membolehkan anggota memperluas perspektif tentang pengurusan persatuan, penyelarasan gerak kerja serta kepentingan kerjasama dalam menjayakan sesuatu program,” katanya.

Beliau berkata penyertaan badan beruniform Kor SISPA UPSI ini bukan sahaja membuktikan sokongan padu universiti terhadap inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), malah memperkukuh peranan mahasiswa sebagai ajen perubahan yang dinamik, berdisiplin dan bersedia menggalas tanggungjawab kepimpinan masa hadapan negara.

Gambar pelajar Kor SISPA UPSI yang hadir dalam konvensyen KARISMA 2026
YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir

Penasihat Persatuan Siswa Siswi Pertahanan Awam (PASISPA) UPSI, Prof. Madya Dr. Muhammad Aqil Aryan Wong menganggap program KARISMA memberi peluang untuk anggota mendalami perkongsian berkaitan pembangunan bakat kepimpinan, pengurusan organisasi dan hala tuju pendidikan tinggi negara.

“Ilmu dan pendedahan yang diperoleh berpotensi dimanfaatkan dalam membimbing PASISPA, khususnya dari segi memperkukuh perancangan aktiviti persatuan, membangunkan potensi kepimpinan mahasiswa dan meningkatkan keberkesanan pengurusan organisasi. Bimbingan berterusan daripada penasihat juga penting dalam membantu anggota membina kemahiran komunikasi, membuat keputusan dan melaksanakan tanggungjawab secara sistematik,” katanya.

“Penekanan ini relevan kepada PASISPA kerana kejayaan persatuan bukan sahaja bergantung pada keupayaan pemimpin, tetapi juga kesediaan setiap anggota untuk bekerjasama, berkomunikasi secara berkesan dan melaksanakan tanggungjawab dengan amanah selain menjadi pemangkin kepada pembangunan barisan pemimpin muda yang berwibawa, berfikiran strategik dan bersedia untuk menerajui masa hadapan pendidikan tinggi negara,” katanya.