oleh: Prof. Madya Dr. Shazlyn Milleana Shaharudin, Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib, Dr. Anis Diyana Halim, Dr. Adibah Abu Bakar
SLIM RIVER – Bagi memupuk minat serta pemahaman mendalam terhadap subjek Matematik, program Kem Bijak Matematik dengan kolaborasi Congak Math telah dijalankan bagi memberi pendedahan kaedah PdP terkini kepada guru-guru dan murid-murid SK Kuala Slim. Program kolaborasi selama 2 hari antara Universiti Pendidikan Sultan Idris dan SK Kuala Slim ini melibatkan seramai 151 orang murid tahun satu hingga enam serta 15 orang guru pada 15 hingga 16 Oktober 2026.
Hari pertama program adalah program bersama-sama guru SK Kuala Slim yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Bermula jam 2.00 petang hingga 5.00 petang, para guru diberikan pendedahan mengenai hands-on kit Matematik, strategi redesign aktiviti, strategi PdP Matematik yang menarik dan berkesan, serta perkongsian sumber amalan terbaik.



Hari kedua kem diteruskan dengan aktiviti bersama-sama murid-murid SK Kuala Slim. Menerusi sesi jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, murid-murid disajikan dengan aktiviti Matematik bersama jemputan khas, Congak Math yang mencabar dan menyeronokkan.
Secara keseluruhannya, Kem Bijak Matematik telah berjaya memberi pendedahan kepada guru dan juga murid tentang kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih interaktif dan inovatif. Program ini bukan sahaja meningkatkan keberkesanan pengajaran, malah mewujudkan jaringan komuniti pembelajaran profesional antara guru bagi menyokong transformasi pendidikan Matematik yang selari dengan kehendak abad ke-21.
