Sesi bergambar bersama para pemenang , penyokong dan tetamu jemputan di atas pentas sebagai tanda penghargaan serta kenangan atas kejayaan dan pencapaian yang telah diraikan

oleh Nur Fatin Syakirah Suhaizal

TANJONG MALIM, 2 November 2026 – Sebanyak 28 pencalonan diterima bagi 10 kategori anugerah pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa Fakulti Sains dan Matematik (FSM) 2026, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan sumbangan mahasiswa dalam pelbagai bidang.

Majlis yang berlangsung di Foyer Blok 1, FSM, Kampus Sultan Azlan Shah itu bertujuan menghargai kecemerlangan mahasiswa bukan sahaja dalam bidang akademik, malah turut merangkumi kepimpinan, kokurikulum, kesukarelawanan dan pembangunan sahsiah.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FSM, Dr Ikhwan Hadi Yaacob berkata majlis berkenaan berperanan sebagai platform untuk mencungkil bakat kepimpinan serta membentuk sahsiah mahasiswa.

Beliau berkata pengiktirafan itu bukan sekadar menghargai pencapaian, sebaliknya turut menjadi usaha menggilap keterampilan dan profesionalisme mahasiswa agar berkembang secara holistik dari aspek akademik dan kokurikulum.

Beliau turut menggalakkan lebih ramai mahasiswa FSM melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti fakulti dan universiti, khususnya dalam bidang kesukarelawanan, kepimpinan, inovasi, khidmat komuniti serta kelestarian siswa.

Bagi memastikan proses pemilihan dilaksanakan secara menyeluruh, setiap calon perlu mengemukakan dokumentasi lengkap dan menjalani sesi temu duga bersama barisan juri penilai.

Jawatankuasa pelaksana yang bertungkus lumus mengendalikan program ATS FSM
Suasana majlis ATS FSM
Dr Ikhwan Hadi bin Yaacob memberikan ucapan alu-aluan

Penilaian turut mengambil kira tahap penglibatan, kualiti dan kuantiti kepimpinan serta aspek sahsiah dan adab yang ditonjolkan oleh calon.

Pencapaian mahasiswa yang mewakili universiti ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa turut menjadi gambaran potensi serta keupayaan mereka dalam mengharumkan nama UPSI.

Penganjuran majlis itu turut menjadi wadah mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa, pensyarah dan warga fakulti, selain menyuntik motivasi kepada pelajar untuk terus meningkatkan prestasi serta menyumbang kepada pembangunan universiti.