Oleh: PM Ts Dr Muhammad Modi Lakulu
TANJUNG MALIM, 12 November 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh tadbir urus pengurusan kualiti institusi dengan penggunaan sepenuhnya Sistem MyQ ISO dalam pelaksanaan Audit MS ISO 9001:2015 daripada pihak SIRIM bagi tahun 2026. Proses audit yang berlangsung selama dua hari, bermula 12 hingga 13 November, telah melakar satu lagi pencapaian baru dalam transformasi digital universiti apabila keseluruhan prosesnya dijalankan secara dalam talian.
Sistem MyQ ISO, yang dibangunkan secara dalaman oleh Bahagian Pengurusan Kualiti (BPQ), telah terbukti menjadi pemangkin kepada kecekapan proses auditan. Jika sebelum ini proses audit melibatkan timbunan dokumen fizikal dan mengambil masa yang panjang untuk dianalisis, pelaksanaan proses auditan kali ini menyaksikan penjanaan laporan analitik deskriptif NCR (Non-Conformance Report) dan OFI (Opportunity for Improvement) dijana secara automatik dalam masa kurang daripada satu minit.
Sepanjang, tempoh auditan, semua pengguna aktif merangkumi juruaudit, auditi, dan urus setia telah menggunakan sistem ini sepenuhnya. Integrasi MyQ ISO dengan sistem teras universiti seperti MyGURU, UniHRIS, MySIS, dan MyRIMS membolehkan juruaudit mengakses dokumen bukti secara masa nyata (real-time). Ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah memastikan integriti data yang lebih tinggi dan telus.
Antara inovasi utama yang diserlahkan dalam proses audit kali ini ialah modul penyimpanan digital fail Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) serta Penyelidikan. Ia membolehkan pensyarah memuat naik dokumen secara langsung, mengurangkan beban kerja manual yang sebelum ini menyaksikan ribuan fail terpaksa dicetak dan disusun secara fizikal.
Pihak BPQ amat berbangga kerana sistem ini turut menyumbang kepada kelestarian kampus (Go Green). Dalam kitaran audit kali ini dianggarkan terdapat penjimatan sebanyak 600 rim kertas A4 yang sebelum ini digunakan bagi proses dokumentasi. Penjimatan ini adalah memperkukuhkan komitmen UPSI terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam aspek pendidikan berkualiti dan infrastruktur lestari.
Sesi audit yang berlangsung di kedua-dua kampus UPSI ini juga menerima maklum balas positif daripada pihak berkepentingan. Proses penyediaan dokumen yang sebelum ini mengambil masa sehingga empat minggu oleh auditi, kini dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu sahaja. Papan pemuka (dashboard) pemantauan status NCR dan OFI membolehkan pihak pengurusan tertinggi dan urus setia BPQ memantau tindakan pembetulan secara langsung dan proaktif.
Kejayaan Sistem MyQ ISO dalam audit kali ini dijangka akan terus memperluas penggunaannya, bukan sahaja untuk audit dalaman ISO, malah dalam menyokong proses akreditasi program akademik oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Dengan rekod pencapaian yang memberangsangkan serta pengiktirafan hak cipta daripada MyIPO, sistem ini berpotensi besar untuk direplikasi ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain yang berhadapan dengan keperluan audit yang sama.
Pelaksanaan audit yang sistematik dan berteknologi tinggi ini membuktikan bahawa UPSI bukan sahaja sebuah institusi pendidikan terulung, malah merupakan peneraju dalam inovasi pengurusan kualiti sektor awam, selaras dengan aspirasi transformasi digital negara.
