oleh: Pn. Nurul Fadzillah Sapengin
Tanjong Malim, 17 Disember 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus melakar pencapaian membanggakan apabila berjaya mengekalkan pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 melalui Surveillance Audit 2 yang berlangsung selama tiga hari bermula 15 hingga 17 Disember 2025.
Kejayaan ini sekali gus mengukuhkan kedudukan UPSI sebagai institusi pendidikan tinggi yang konsisten mengamalkan tadbir urus berkualiti, sistematik dan berimpak tinggi.
Auditan yang dilaksanakan oleh pihak Badan Pensijilan SIRIM QAS International Sdn. Bhd. ini melibatkan penilaian menyeluruh terhadap pematuhan keperluan standard ISO 9001:2015, keberkesanan pelaksanaan sistem pengurusan kualiti serta inisiatif penambahbaikan berterusan di seluruh universiti.
Bahagian Pengurusan Kualiti (BPQ) berperanan sebagai peneraju utama sistem pengurusan kualiti universiti dengan menyelaras persediaan audit, penglibatan semua Pusat Tanggungjawab (PTj) serta memastikan kesiapsiagaan dokumentasi dan pelaksanaan berada pada tahap terbaik secara berterusan.


Mesyuarat Pembukaan Audit telah dipengerusikan oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff, yang menegaskan bahawa budaya kualiti bukan sekadar keperluan pensijilan, malah merupakan asas kepada kecemerlangan perkhidmatan, akauntabiliti dan kelestarian universiti.
Sementara itu, Mesyuarat Penutup Audit dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Ridzwan bin Che Rus, yang menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua PTj atas komitmen dan kerjasama padu sepanjang proses auditan, serta menyeru agar sebarang peluang penambahbaikan yang dikenal pasti dimanfaatkan secara strategik demi peningkatan prestasi universiti.
Auditan ini telah diketuai oleh Hadie Aizzat Asli selaku Ketua Juruaudit, bersama barisan auditor SIRIM yang berpengalaman terdiri daripada Lt. Kol. (B) Abd. Lataf Daud, Maznah Mat Isa, Nursheirie Sheiriena Mohammad Za’im dan Siti Rahmah Ahmad.
Sepanjang tempoh audit, pelbagai kaedah penilaian telah dijalankan termasuk sesi temu bual, semakan dokumentasi serta lawatan ke fasiliti dan operasi PTj terlibat.
Kejayaan ini turut disokong oleh peranan berterusan pasukan auditor dalaman UPSI, termasuk Ketua Juruaudit Dalaman dan barisan juruaudit terlatih universiti, yang berfungsi sebagai mekanisme kawalan dan penambahbaikan awal sebelum pelaksanaan auditan pihak ketiga.


Memetik ucapan YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Modi Lakulu, Pengarah Bahagian Pengurusan Kualiti UPSI, “Audit kualiti bukan sekadar pematuhan, tetapi platform strategik untuk memperkukuh budaya kualiti, kecekapan dan akauntabiliti dalam organisasi universiti.”
Kejayaan ini mencerminkan iltizam berterusan pengurusan tertinggi dan seluruh warga UPSI dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap, telus dan berfokuskan pelanggan melalui pengukuhan tadbir urus kualiti universiti.
UPSI akan terus memperkukuh budaya kualiti sebagai teras kecemerlangan institusi, seiring dengan aspirasi universiti dan agenda pendidikan tinggi negara.

